Mohd. Hairi Mad Shah (tengah) melancarkan Sukan Bangsa Johor 2023 di Stadium Arena MBJB hari ini.

JOHOR BAHRU – Kontinjen Johor berhasrat mengekalkan kejuaraan pada Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali kedua di Sarawak pada tahun depan.

Juara keseluruhan SUKMA ke-20, Kontinjen Johor mahu mempertahankan gelaran itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd. Hairi Mad Shah.

Menurutnya, biar pun sukan kanu yang menjadi lubuk emas Kontinjen Johor tidak dipertandingkan pada edisi tersebut, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) tetap optimis dapat mengulangi kejayaan itu.

Beliau berkata, MSNJ telah pun mengenal pasti bakat baharu  untuk menggalas tugas penting untuk mendapatkan pingat emas untuk Kontinjen Johor.

“Kita akan cuba sedaya upaya mungkin untuk pertahankan gelaran juara keseluruhan itu, bagaimanapun untuk mengulangi kejayaan lalu (77 emas) agak sukar kerana atlet sebelum ini sudah melebihi had umur untuk bertanding di SUKMA.

“Dahulu sukan kanu menjadi lubuk emas namun setelah dapat tahu ia tidak disenaraikan pada SUKMA di Sarawak, tumpuan kita terarah kepada acara olahraga sebagai potensi menyumbang pingat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmi dan melancarkan Sukan Bangsa Johor 2023 di Stadium Arena MBJB di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia & Sukarelawan), Datuk ‘On Jabbar@Jaafar.

Johor mencatat sejarah muncul juara keseluruhan SUKMA di Kuala Lumpur apabila membawa pulang 77 emas berbanding 55 pingat emas yang disasarkan.

Mohd. Hairi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama MSNJ bagi menetapkan sasaran pingat serta dan melengkapkan senarai pendek atlet pada awal tahun depan.

Mengulas mengenai Sukan Bangsa Johor, Mohd. Hairi berpuas hati dengan penyertaan kira-kira 3,000 peserta yang membabitkan 56 pasukan yang mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor.

Katanya, penganjuran Sukan Bangsa Johor yang memasuki tahun kedua penganjuran menyaksikan empat Sukan dipertandingkan iaitu futsal, vola keranjang tiga lawan tiga, sepak takraw dan bola jaring.

“Objektif Sukan Bangsa Johor ini adalah bagi merakyatkan sukan selain menggalakkan budaya sihat. Penyertaan adalah bebas, ia lebih menggalakkan akar umbi untuk minat bersukan secara tidak langsung mencungkil bakat baharu.

“Kita juga berharap aktiviti sukan di negeri ini dapat diperkasakan menjelang 2030 dan menjadikan Johor sebagai powerhouse of sport,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast