Gambar hiasan

Oleh: Dr Hayati Ismail

MAJLIS Pelancaran Laporan Tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pada 22 Ogos 2023 yang lalu mencatat sejarah apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengotakan janji dengan menerbitkan Laporan Tahunan untuk kali yang ke sepuluh. Sebagaimana yang termaktub dalam Anjakan ke-11 PPPM 2013-2025 – Meningkatkan Ketelusan Untuk Akauntabiliti Awam Secara Langsung, saban tahun sejak 2013 KPM melaporkan dengan tekal dan jujur tentang pencapaian inisiatif di bawah PPPM. Bukan sekadar data bernombor, Kementerian juga berkongsi kisah inspirasi daripada semua pihak yang terlibat secara langsung dengan pendidikan anak-anak warganegara Malaysia daripada murid, guru, pentadbir serta ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.

Jika diteliti naskhah Laporan Tahunan PPPM 2013-2025 yang diterbitkan setiap tahun, jelas dilihat komitmen Kementerian amat tinggi dalam memastikan sasaran yang ditetapkan untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas negara dengan sistem pendidikan terbaik di dunia dapat dicapai. Bagi menuju ke arah ini, pelbagai inisiatif telah disusun secara sistematik menggunakan pendekatan holistik bagi memastikan Enam Aspirasi Murid dan Lima Aspirasi Sistem dapat direalisasikan, berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Contoh paling jelas dapat dilihat melalui Anjakan ke-9 apabila Kementerian mensasarkan pelibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang dapat membantu dalam membangunkan potensi murid. Pada bulan Februari 2013, Kementerian melancarkan Sarana Ibu Bapa untuk menggalakkan pelibatan ibu bapa dalam aktiviti sekolah, dan peratus kehadiran ibu bapa dalam aktiviti tersebut meningkat dengan signifikan sehingga kini. Bukan itu sahaja, dalam Laporan Tahunan 2014 dikongsi pula pelibatan ibu-ibu Sarana Moms di SMK Taman Tuanku Jaafar, Senawang yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan aktiviti seperti menyambut pelawat dari luar, justeru menyerlahkan sokongan ibu bapa dan mengukuhkan hubungan dengan para pendidik.

Laporan Tahunan 2016 pula memaparkan komitmen para bapa di SMK Putrajaya Presint 8(1) dalam membantu sekolah menangani masalah disiplin melalui khidmat masyarakat, seperti membuat baik pulih kecil dan mencantikkan lanskap. Kisah inspirasi ini menjadi bukti bahawa bukan sahaja statistik yang menjadi fokus, malah kualiti setiap inisiatif di bawah PPPM 2013-2025 juga menjadi testimoni kepada pendekatan insaniah yang sentiasa dititik beratkan oleh Kementerian.

Sebenarnya bukan mudah untuk menghasilkan Laporan Tahunan yang saban tahun perlu dibentangkan kepada pemegang taruh dan masyarakat. Laporan Tahunan yang disediakan oleh Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) ini melalui proses yang sangat berstuktur dan terperinci dalam memastikan data serta pelaporan kisah inspirasi mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi. Data daripada pemegang inisiatif di Kementerian disemak dan diluluskan oleh pihak pengurusan, dan disokong dengan bukti dalam bentuk kisah inspirasi daripada pihak yang terlibat. Testimoni daripada pihak yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaan inisiatif ini diperolehi secara first hand berdasarkan cadangan daripada pemegang inisiatif sendiri. Justeru naskhah Laporan Tahunan ini adalah bukti pendekatan manusiawi yang sangat ditekankan oleh YB Menteri Pendidikan.

Enam Aspirasi Murid – Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Dwibahasa, Kemahiran Memimpin, Etika dan Kerohanian serta Identiti Nasional merupakan keseimbangan antara ilmu dan akhlak yang perlu diterapkan dalam diri murid secara individu. Setelah 10 tahun PPPM 2013-2025 dilaksanakan, Kementerian amat mengharapkan agar keberhasilan murid dapat diterjemahkan melalui Enam Aspirasi Murid ini. Dalam Sesi Forum ‘Kejayaan dan Cabaran’ Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2022, yang menariknya salah seorang ahli panel diletakkan sebaris dengan Mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan CEO Teach for Malaysia ialah murid lepasan SPM berusia 18 tahun, Ishwaar Alagesan dari SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi. Keyakinan dan kelancaran berbicara murid ini amat mengkagumkan, kerana bukan sahaja beliau fasih berbahasa Melayu dan dapat menyusun idea dengan bernas, tetapi penyampaian beliau begitu bersopan penuh kesusilaan. Inilah bukti penerapan Enam Aspirasi Murid yang dicitakan melalui PPPM 2013-2025, dan sokongan daripada ibu bapa dalam mendidik anak-anak ini amat diperlukan.

It takes a village to raise a child – kata-kata inilah yang menjadi pesanan YB Menteri Pendidikan kepada semua warga pendidik, dan inilah juga yang termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pendekatan holistik dalam membangunkan potensi anak-anak warganegara yang bakal memacu kelangsungan ketamadunan bangsa. Konsep madani yang menjadi gagasan masa kini amat mementingkan keseimbangan ilmu dan akhlak dalam diri individu, dan pendekatan insaniah perlu menjadi teras. Iltizam Kementerian dalam merealisasikan aspirasi PPPM 2013-2023 akan terus dipateri dalam Laporan Tahunan yang diterbitkan secara konsisten. Berhadapan dengan cabaran masa hadapan yang tidak menentu, diharapkan agar prinsip Rukun Negara akan terus menjadi pegangan kepada generasi yang melalui sistem pendidikan negara di masa kini, dan masa hadapan.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast