JOHOR BAHRU – Rakyat Johor sudah muak dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan mengubah Kerajaan Persekutuan.
Hakikatnya, rakyat semakin bijak dan mengetahui perkara itu tidak akan berlaku, kata Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah.
“Dakwaan itu tidak masuk akal, saya tidak tahu apakah solusi atau bagaimana cara yang membolehkan mereka membentuk kerajaan baharu dengan memenangi kerusi tersebut.
“Saya seru kepimpinan parti PN dan Pas yang datang ke Johor untuk berikan solusi kepada rakyat dan bukan hanya dengan topik dongeng. Rakyat dah letih untuk mendengar cerita seperti ini.
“Kalau kita lihat di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dalam masa beberapa hari (selepas PN menang di tiga negeri itu) akhirnya menteri besar mereka menghadap juga perdana menteri. Jadi amat penting kerajaan negeri dan kerajaan pusat selari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Sukan Bangsa Johor Tahun 2023 di Stadium Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini.
Ahad lalu, Abdul Hadi ketika ditemui di Markas Pas Pulai dilaporkan berkata, keputusan memberangsangkan gabungan PN pada PRK Parlimen Pulai pada 9 September ini boleh menjadi pencetus kepada perubahan dalam Kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Mohd. Hairi menggesa pengundi agar tidak termakan dengan pujukan anasir-anasir luar yang cuba meracuni minda pengundi menjelang PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kerana tidak sesuai dengan negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata, Johor mempunyai cara dan agendanya tersendiri dalam memacu kemajuan negeri ini.
“Agenda kita besar iaitu agenda Johor. Kita ada agenda kita, ramuan kita sendiri dan berpolitik pun ikut cara kita sendiri,” tambahnya.
Mengenai dakwaan sambutan hambar ketika berkempen, beliau menjelaskan, situasi itu tidak berlaku setelah pelbagai gerak kerja disusun oleh jentera Pakatan Harapan (PH) dan BN.
“Saya lihat di peringkat BN dan PH kerjasama cukup baik selepas pilihan raya negeri (PRN) lepas. Saya tidak nampak cacat cela cuma saya letakkan harapan kepada semua di Pulai dan Simpang Jeram terus memberi kepercayaan dengan agenda Johor.
“Tinjauan terhadap orang muda juga menunjukkan pola atau mereka sudah tidak mahu dengar pasal politik BN atau PN tapi 48.6 peratus lebih suka (mendengar) kepada agenda Johor,” katanya.
“Ini menunjukkan rakyat faham dan tahu menilai apa yang agenda Johor tawarkan dan pada masa mengingatkan penduduk dari negeri di pantai timur atau utara yang bekerja di negeri ini supaya tidak mempengaruhi pengundi dengan anasir tidak sepatutnya,” katanya.- MalaysiaGazette