Oleh: Atriza Umar
PENULIS dari Amerika Syarikat pada tahun 1921-1994 William Arthur Ward pernah berkata: ‘The pessimist complains about the wind; the optimist expects it to change; the realist adjusts the sails.’ Jika diterjemahkan ia bermaksud: ‘Orang pesimis mengeluh tentang angin, orang optimis mengharapkan ia mengubah haluan, dan kapten menyesuaikan kedudukan layar mengikut arahnya.’
Sedarkah kita, kebencian berdasarkan sentimen agama yang ekstremis adalah salah satu amalan paling berbahaya yang mengancam masyarakat, bukan sahaja kerana ia mencetuskan konflik hingga menjejaskan keamanan dan kesejahteraan seterusnya mampu mewujudkan kerosakan yang teruk kepada jiwa-jiwa manusia.
Individu yang tertakluk kepada bahana fundamentalis mempunyai pemikiran yang tidak boleh bertolak ansur apalagi sesiapa yang berbeza daripadanya, seakan seperti musuh dan ia berusaha untuk menyingkirkannya dengan pelbagai cara sekalipun. Imej pemikiran negatif melampau ini semakin membarah dalam segelintir masyarakat di negara ini.
Seringnya, mengambil sikap berdasarkan pendapat dogmatik takfiri, mereka juga bergerak berdasarkan motif psikologi yang tidak stabil, akibat indoktrinasi dan intimidasi. Ia adalah kaedah doktrinasi yang dijalankan oleh kumpulan yang melampau dan mereka berusaha untuk mengeksploitasi individu mahupun masyarakat agar mengikuti serta
mempercayai segala apa yang di bawa atau disampaikannya.
Keinginan mereka sentiasa untuk membalas dendam dan menghukum seseorang atau pihak tertentu, yang mana, ia sering digunakan atas nama agama. Hakikatnya bahawa fanatik, ekstremisme, kebencian terhadap perbezaan dan hasutan terhadap sesuatu adalah suatu amalan yang secara automatik membawa kepada pembunuhan moral dan ia amat bahaya hingga mampu mencetuskan tregedi yang tidak diingin. Menelusuri sejarah dunia, Wilayah Teluk Arab telah melalui bertahun-tahun tragedi hitam yang menyasarkan tempat ibadat, yang mana sejumlah pengebom berani mati meletupkan diri di masjid kerana tuduhan mazhab.
Begitu juga ISIS bukan sahaja musuh Muslim Syiah di wilayah itu, tetapi juga membenci mereka yang tidak bersetuju dengannya dalam kalangan Muslim Sunni. Seterusnya, mensasarkan kerajaan dan ibu pejabat awam hingga bertindak menyerang sekutunya juga ahli keluarga mereka. Pengganas memusuhi semua orang yang tidak menyebelahinya, kerana matlamatnya adalah untuk menjejaskan kestabilan dan mencetuskan huru-hara serta ancaman kepada masyarakat juga negara.
Indoktrinasi memusnahkan generasi
Proses indoktrinasi adalah pendekatan yang diamalkan, sering membunuh kreativiti, pembaharuan, kebebasan berfikir, pertimbangan, dan kaedah ini menjadi tingkah laku seseorang supaya membuat sesuatu tindakan tidak berasas. Mereka menjadi tidak bertoleransi terhadap apa yang telah didoktrinkan dan mendapati dirinya di atasnya, maka kreativiti membunuh dirinya.
Melalui kaedah ini, kita kehilangan keupayaan untuk berfikir secara kritis, jadi generasi yang tidak berfikir, tetapi menerima semua yang mereka dengar, dan ini adalah maslaha yang besar apalagi dengan kewujudan media sosial. Mereka hanya perlu mengeluarkan kata-kata yang berunsur ketidak puasan hati hingga menjadi khabar angin dan disebarkan oleh pengikutnya tanpa menyelidiki kesahihan fakta tersebut. Selebihnya serahkan kepada netizen, kerana khabar angin ini akan tersebar tanpa mencari sesiapa yang membuat isi kandungannya.
Dan kaedah inilah yang merosakkan generasi yang mempercayai segala apa yang didengari di media soaial mahupun arus perdana dan ia kekal begitu untuk beberapa ketika. Maksud indoktrinasi ialah seseorang itu menyerah kepada apa yang dibentangkan kepadanya dan dipercayai, tanpa berfikir bahawa sesuatu khabar itu benar atau sebaliknya. Justeru, sedikit sebanyak membuatkan ketidakupayaan seseorang itu untuk berfikir atau mengambil keputusan yang sesuai tentang apa yang dikemukakan dan ia menjadi manusia yang bergantung kepada orang lain untuk berfikir. Ayuh, selamatkan diri dan generasi daripada terjebak dengan situasi sebegini!
Penulis merupakan Felo Nusantara Academy For Strategic Research (NASR)