JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat akan meneruskan bantuan bakul Rahmah kepada masyarakat Orang Asli Kampung Temun seperti mana yang telah dilakukan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini.
Selain itu beberapa perancangan pembangunan untuk kawasan itu juga telah dirancang sekiranya beliau diberi mandat.
Ia termasuk kemudahan lampu pada waktu malam danpembinaan tempat berteduh pembaikan jeti bagi memudahkan mereka menaikkan tangkapan laut.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Kampung Orang Asli Sungai Temun hari ini dalam siri kempennya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
Suhaizan berkata, selain itu isu pendidikan kepada anak orang asli turut menjadi tumpuannya dalam usaha memastikan generasi komuniti ini tidak ketinggalan.
“Dari segi pendidikan anak mesti diberi motivasi pendidikan dan insentif untuk merangsang mereka pergi ke sekolah dalam menjamin masa depan lebih baik.
“Ini mengambil kira kedudukan kawasan ini yang terpinggir dari bandar dan jauh dari sekolah. Jadi perlu ada sesuatu dibuat untuk memberi semangat kepada anak-anak ini untuk ke sekolah,” ujarnya.
PRK dijadualkan berlangsung pada 9 September ini menyaksikan pertembungan antara Suhaizan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi. – MalaysiaGazette