Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah (kiri) menerima Tablet Rahmah daripada Ketua Pegawai Eksekutif Gemvest Sdn Bhd, Woon Kah Hooi pada majlis pelancaran di pusat beli-belah SOGO, 31 Ogos 2023.

KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal memperkenalkan komputer Tablet Rahmah pada harga mampu milik kepada anak-anak ahli koperasi bermula September ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, tawaran itu bagi membantu meringankan beban ibu bapa para pelajar institut pengajian yang berdepan kos pendidikan yang tinggi ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya menerusi pusat beli-belah Sogo (KL) Department Store Sdn Bhd akan menjual Tablet Rahmah kepada pelajar pada harga lebih rendah dan berpatutan, dalam dua varian iaitu RM770 dan RM925.

“Salah satu cabaran paling ketara yang dihadapi oleh pelajar hari ini ialah kos pendidikan termasuk yuran pengajian, buku teks dan perbelanjaan sara hidup serta jurang digital dilihat semakin meningkat.

“Internet kini gerbang kepada maklumat dan peluang, peranti seperti komputer telah menjadi asas seperti mempunyai akses kepada perpustakaan.

“Bagaimanapun, tidak semua pelajar mempunyai keupayaan untuk memiliki komputer dan ini merupakan salah satu cabaran yang menghalang kemajuan mereka.

“Dengan menjual komputer kepada pelajar pada harga lebih rendah, kita bukan sahaja membuat keputusan perniagaan, tetapi kami juga menyemai benih masa depan lebih cerah, saksama dan sejahtera untuk semua,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah

Pada 31 Ogos lalu, syarikat Gemvest Sdn Bhd dengan kerjasama SOGO dan Angkasa melancarkan komputer tablet jenama MAAI, didatangkan dengan dua varian iaitu S30 dan S30 Pro, masing-masing berharga RM770 dan RM925.

Model S30 merupakan tablet termurah dari harga pasaran yang menawarkan skrin sebesar 10.1 inci dengan resolusi definisi tinggi penuh (FHD) 1920×1200 dan paparan panel jenis IPS LCD.

Tablet S30 ini digerakkan menggunakan cip MediaTek MT8788 Octa Core 2GHz bersama RAM 6GB dan storan ROM 128GB serta menyokong rangkaian 4G dan WiFi manakala baterinya berkapasiti 6500mAh.

Bagi model S30 Pro pula, ia didatangkan dengan skrin 10.36 inci, resolusi 1200×2000 bersama paparan panel jenis 2K IPS LCD.

Varian S30 Pro ini digerakkan menggunakan cip MediaTek Helio G99 Octa Core 2.2GHz bersama RAM 8GB dan storan ROM 256GB serta menyokong rangkaian 4G dan WiFi, manakala baterinya berkapasiti 6000mAh. – MalaysiaGazette