DAP Melayu
Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – DAP sepatutnya sedar bahawa majoriti orang Melayu selaku kaum paling dominan di negara ini menolak parti itu dan sekutu-sekutunya.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, walaupun DAP berjaya memenangi hati sebahagian besar pengundi Cina dan India, parti itu masih gagal menarik sokongan pengundi Melayu.

Malah menurut beliau, DAP sendiri mengakui bahawa berlaku fenomena ‘gelombang hijau’ kerana orang Melayu, penjawat awam, polis dan tentera takut dengan DAP.

Lian Ker menambah, situasi itu berlaku walaupun jaminan pernah diberikan oleh Pas, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Persoalannya adakah mereka takut dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa DAP?

“Adakah sikap keras kepala DAP bermain politik ekstrem akan menyebabkan lebih banyak ekstremisme seperti kata pepatah ‘ekstremisme melahirkan ekstremisme’? katanya dalam surat terbuka kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke hari ini.

Semalam, Anthony menegaskan, DAP tidak akan menggugurkan agenda ‘Malaysian Malaysia’ daripada dasar perjuangan partinya.

Menteri Pengangkutan itu berkata, isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan kerana DAP telah memberi komitmen untuk mendukung kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Lian Ker menggesa DAP menggugurkan tuntutan ‘Malaysian Malaysia’ serta menilai semula komitmennya yang antara lain menghapuskan sistem kuota bumiputera kerana matlamat sedemikian dilihat menghalang parti berkenaan daripada mendapat sokongan orang Melayu.

Lian Ker menambah, kebimbangan berhubung konsep ‘Malaysian Malaysia’ tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram.

Beliau memberitahu, perkara itu disuarakan ekoran kebimbangan tentang masa depan generasi akan datang.

“Seluruh rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan saya secara jujur merayu kepada anda selaku pemimpin kami agar ‘melakukan sesuatu yang betul.

“Jangan ketepikan, elak atau membiarkan masalah yang sedang dihadapi,” jelasnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. DAP nak juga Malaysian MALAYSIAN… memang BAHASA Malaysia dan Agama Islam tidak BERUBAH tapi konsep DAP menghapuskan keistimewaan orang MELAYU antara perkara UTAMA yang dipersoalkan. maka berfikir lah orang orang MELAYU.. pada Melayu mewah bersyukur lah tetapi bantulah sokong KEISTIMEWAAN yang berada diambang perubahan politik.

Comments are closed.