Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kaiat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Ke-15 di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 26 OGOS 2023.

PEPERANGAN sengit merebut kerusi dan kuasa di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan menyaksikan satu lagi ujian getir senario praktik demokrasi politik baharu yang mencemas dan mendebarkan.

Ini kerana percaturan menyambung kembali maruah dan perjuangan politik Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di Johor, sebagai mana yang diraih kemenangan pada PRU15 yang lalu.

Ia bakal menyaksikan bahawa strategi politik Kerajaan Madani digembeling dengan kematangan parti dan kebijaksanaan rakyat membuat pemilihan masa depan yang tidak akan memperjudikan nasib mereka lagi selepas ini.

Cukuplah mengajar rakyat Johor mendalami niat kerajaan yang belum pernah diterajui pembangkang,apalagi pada waktu itu rakyat Johor terpaksa berkorban prinsip, menyerah masa depan mereka kepada sentimen politik yang mencemaskan ketika itu.

Inilah yang harus menjadi suatu pengajaran buat PH-BN terutamanya UMNO apabila meniupkan semarak emosi rakyat Johor terhadap sentimen politik baharu, ibarat “berani buat,berani tanggung” untuk mendepani wajah masa depan politik dan ekonomi Johor yang yang dikembalikan selepas kemenangan besar parti itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Akhirnya, ketentuan takdir dan masa telah menyaksikan pilihan rakyat Johor kembali ke pangkuan BN yang telah lama bertaut pasak memerintah di bumi selatan tanahair kita. Tanggal 22 Mac 2022 menyaksikan kebangkitan BN menerajui Johor walaupun diasak oleh strategi politik pembangkang untuk meranapkan kepercayaan dan keyakinan rakyat Johor terhadap UMNO dan BN.

Pandemik Covid-19 sekali telah mengajarkan kita bahawa kemelut politik UMNO dan BN di Melaka dan Johor telah berakhir dan beralih ke frasa penyatuan umat Melayu dengan lebih menyakinkan.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Calon Perikatan Nasional (PN) P.161 Pulai, Zulkifli Jaafar sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Ke-15 di Dewan Jubli Intan, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 26 OGOS 2023.

Apa yang boleh dipelajari daripada Pilihan Raya Negeri Johor?

Jumlah pengundi yang rendah, hanya 50 peratus menunjukkan beberapa petanda, mual dengan kerenah politik berterusan dan menyisihkan hal-hal sosial dan penjanaan ekonomi rakyat; protes terhadap janji-janji politik yang tak berkesudahan.

Kadar jumlah pengundi rendah menyebabkan BN menang besar berdasarkan perkiraan beberapa pilihan raya negeri dan PRKsebelum itu disebabkan oleh BN memiliki sistem penstrukturan akar umbi parti yang kuat.

Pergolakan dalaman dalam parti-parti pembangkang ketika itu menunjukkan bahawa gabungan pembangkang merimaskan para pengundi untuk membuat pilihan.

Tiada manifestasi dan arah hala tuju yang dinamik menyebabkan rakyat kurang berkeyakinan untuk memilih parti pembangkang waktu itu, menyaksikan Johor tidak berubah di bawah kepimpinan pembangkang waktu itu.

Belajar daripada kekurangan tersebut, gandingan PH-BN yang mempertaruhkan calon daripada Parti Amanah untuk mewakili Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan memberikan dimensi baharu.

Ini kerana apabila calon pilihan yang merupakan mantan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat selaku Ketua Amanah Bahagian Pulai dan bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Nazri Abd Rahman akan menjadikan pilihan terbaik buat para pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Tan Seri Muhyiddin selepas mengumumkan calon bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Kempas hari ini.

Sementara itu pula, bagi pembangkang PN mempertaruhkan calon anak tempatan, Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai untuk menggamit undi para pengundi Parlimen Pulai dan seorang pakar bedah, Dr Mazri Yahya untuk ditandingi di DUN Simpang Jeram.

Suatu kombinasi calon yang boleh memberi saingan sengit kepada para pengundi di kawasan-kawasan tersebut, terutamanya kedua-dua blok parti pada kali ini berani mengetengahkan calon teknokrat dan perubatan, kerjaya yang dihormati dan dipandang tinggi di mata para pengundi.

Soalnya, keputusan mempertaruh kemahiran profesional calon-calon berkenaan bakal menyaksikan suatu pilihan yang rumit buat para pengundi nanti, apakah kerjaya profesional calon menjadi ukuran atau menifestasi parti-parti politik bertanding yang menarik minat pengundi?

Apakah calon daripada Parti Amanah akan menjulang semula kejayaan seperti sebelumnya yang diperoleh oleh arwah Datuk Seri Sallehuddin Ayub di kedua-dua kawasan tersebut?

Pertaruhan tiga penjuru pada kali ini bakal menyaksikan rakyat menilai kekuatan BN dalam gabungan parti perpaduan Kerajaan Madani.

Kejayaan PH-BN menguasai tiga negeri,diikuti pula dengan “gelombang hijau” PN terus menambat hati para pengundi negeri Pantai Timur dan Kedah bakal menjadi sandaran kepada pilihan pengundi Johor pada kali ini.

Rakyat Johor pastinya dahagakan pembaharuan daripada budaya politik baharu sama ada fenomena ini dapat menyelesaikan isu-isu keperluan semasa rakyat Johor dan memimpin mereka keluar daripada bahang keperitan daripada kegawatan ekonomi hari ini.

Pastinya semua parti yang bertanding akan mengharapkan jumlah besar pengundi yang keluar untuk kedua-dua kawasan tersebut bagi menyaingi pertaruhan parti lawan. Tetapi suatu hakikat yang menjadi persoalan kita, apakah parti-parti ini dapat menyantuni golongan pengundi muda dan bagimana golongan pewaris politik masa depan dapat menyakinkan golongan muda.

Apakah pertembungan kali ini bakal menyaksikan suatu tanda aras baharu kepada kedudukan parti gabungan PH-BN dan PN yang membolehkan para pengundi Pulai dan Simpang Jeram menilai kewibawaan dan pengaruh kedua-dua blok pakatan politik ini untuk bersedia berentap di gelanggang PRU16 akan datang?

Perlu juga diingatkan bahawa bilangan pengundi bukan Melayu yang agak besar jumlahmya di kedua-dua kawasan ini akan menjadi taruhan penting kepada harapan kemenangan kedua-dua blok gabungan parti politik ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kayat beramah mesra bersama peniaga yang merupakan pengundi cina semasa berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Pasar Malam Taman Anggerik, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 29 OGOS 2023.

Masyarakat Cina dan India semestinya meletakkan harapan kepada calon-calon bertanding yang difikirkan lebih berwibawa dan bijaksana menguruskan keperluan mereka nanti.

Dalam erti kata lain, ketaksuban parti terhadap isu-isu yang boleh menganggu gugat keharmonian kaum perlu dielakkan sama sekali. Bukanlah masanya bagi parti-parti politik mempertaruhkan isu-isu sensitif atau isu tidak popular dalam kalangan pengundi pada kali ini.

Kebijaksanaan pengundi menilai kewibawaan parti-parti bertanding,hasil PRN baru-baru ini akan menjadi pegangan kepada mereka untuk membuat pilihan lebih matang.

Saya percaya para pengundi di Pulai dan Simpang Jeram tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah politik seperti menabur fitnah, hasutan yang merugikan rakyat.

Sedangkan pelaburan dan status ekonomi Johor di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz akan menjadi ukuran indikator kepada kekuatan Kerajaan Madani di Johor.

Parti Muda pula dilihat tidak mengambil kesempatan ini untuk turut bertanding dan menjadi parti pilihan alternatif kepada pengundi-pengundi bukan Melayu di kedua-dua kawasan itu.

Parti itu tidak harus gopoh memperjuangkan nasib golongan muda semata-mata tetapi harus juga menyantuni golongan dewasa termasuk warga emas dalam memperoleh sokongan terhadap penghayatan prinsip parti itu.

Penonjolan semua calon dari kalangan pemuda tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya strategi dan halatuju parti yang masih kabur perlu untuk jelmakan bagi memenuhi aspirasi rakyat dan untuk diasimilasikan oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

Soalnya, apakah PH-BN dapat mengulangi kejayaan Datuk Sallehuddin Ayub meraih majoriti besar di Parlimen Pulai? Apakah PN pula berjaya menyanggah kemenangan lalu dan mengalihkan kemenangan kepada mereka?

Dalam politik segalanya boleh terjadi sekiranya ada pihak yang boleh bertolenrasi dengan keperluan dan kehendak masyarakat setempat atau memainkan sentimen-sentimen politik berterusan umtuk menarik undi mereka.

Hal sedemikian ini juga akan memberikan cabaran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertahankan jawatan Perdana Menteri sehingga PRU15 yang disifatkan oleh kebanyakan pemimpin parti sebagai suatu strategi pembersihan dan anjakan pradigma terhadap kepimpinan politik negara dan kewibawaan kerajaan perpaduan yang dibentuk hari ini.

Ini sekaligus menunjukkan bahawa kepemimpinan PH-BN dirujuk sebagai kumpulan pengurusan yang berkarismatik, memberikan impak yang tinggi terhadap reputasi dan prinsip parti untuk menjadi parti berimbang mengikut keperluan politik semasa demi membela nasib dan perjuangan orang Melayu di negara ini.

Oleh Ts Dr Syed Agil Alsagoff yang merupakan Pensyarah Kanan Media dan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

NOTA: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi MalaysiaGazette

169070626_10159956039854057_8448027078096029969_n
Dr. Syed Agil Alsagoff.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast