KOTA TINGGI – Tiga rakan maut selepas Perodua Bezza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di Kilometer 50.1, Lebuh Raya Senai-Desaru menghala ke Bandar Penawar di sini hari ini.
Mangsa maut dikenali sebagai Iqbal Faiz Mat Sah, 20, Nurul Afrahrina Sazli, 19, dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19.
Manakala seorang lagi penumpang kenderaan yang juga rakan mangsa Izznur Harith, 19, mengalami cedera parah.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan I (KUP), Izwani Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada pukul 1.43 petang.
Seramai 14 anggota dari BBP Penawar dan BBP Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi usaha menyelamat dalam kemalangan yang melibatkan sembilan orang mangsa itu.
“Kemalangan itu melibatkan tiga buah kereta iaitu Perodua Bezza, Toyota Innova dan Volkswagen. Setibanya ditempat kejadian pihak kami (bomba) mendapati benar terdapat empat orang mangsa cedera ringan dari kenderaan Toyota Innova.
“Manakala tedapat seorang mangsa yang menaiki Perodua Bezza cedera parah sementara tiga yang lain disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Pemandu Volkswagen pula selamat. Pasukan operasi bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas sehingga mangsa berjaya dibawa keluar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesemua mangsa cedera telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan manakala mangsa meninggal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada pukul 3.50 petang.- MalaysiaGazette