Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Calon Perikatan Nasional (PN) P.161 Pulai, Zulkifli Jaafar serta barisan kepimpinan yang lain ketika hadir pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Dataran Utama Taman Kempas, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 02 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Perikatan Nasional ( PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kepentingan orang Melayu ketika ini sangat sukar dan berbahaya.

Lantaran itu, kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September depan, perlu disekat.

Dakwanya, jika kemenangan berpihak kepada calon PH, ia memberi kelebihan kepada kerajaan ketika ini untuk memiliki dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat, yang membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan termasuk persempadanan kawasan pilihan raya.

Berucap dalam Ceramah Perdana di Taman Kempas pada malam tadi, bekas Perdana Menteri itu berkata, lagi merisaukan jika persempadan tersebut kemungkinan berfokus di kawasan bandar, yang kebanyakannya didiami pengundi Cina.

“Oleh itu katanya, adalah penting bagi pengundi Pulai menyekat langkah pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung persempadanan itu dengan memenangkan calon PN di Pulai, Zulkifli Jaafar pada 9 September nanti.

“Masalah sekarang ini kita berhadapan dengan situasi yang agak sukar, kalau kita bagi kemenangan kepada calon di sebelah sana, maka kerajaan yang ada hari ini mempunyai sejumlah dua pertiga kerusi di Parlimen.

“Dua pertiga kerusi di Parlimen ini ada signifikan kerana untuk meminda Perlembagaan Persekutuan mesti ada majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga ahli-ahli Parlimen menyokong pindaan Perlembagaan.

“Kita jangkakan persempadanan semula atau kita sebut ‘gerrymandering’ (memanipulasi sempadan (kawasan pilihan raya) supaya memihak kepada satu parti atau kelas) ini akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun dalam penggal ini.

“Namun ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa ada kelulusan Parlimen yang memerlukan undi dua pertiga untuk memastikan pindaan itu dapat dibuat

“Jadi sekarang ini, kalau mereka menang di Parlimen Pulai 9 September ini, mereka akan dapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Maka kerajaan Perpaduan akan pinda kawasan sempadan pilihan raya, macam mana tuan-tuan fikir dia nak buat,” katanya.

Pada 28 Mac 2018, Dewan Rakyat meluluskan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya bagi Semenanjung Malaysia yang dibentangkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi persempadanan semula itu, tiada pertambahan kerusi bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjadikan jumlah kerusi Parlimen kekal 222 kerusi dan 587 kerusi bagi DUN.

Namun, menerusi laporan persempadanan yang diluluskan itu, sebanyak 12 nama kawasan Parlimen dipinda manakala 29 kawasan lagi membabitkan DUN.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast