NILAI – Seramai 23 kanak-kanak dan 10 penjaga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di depoh tahanan sementara Imigresen kini ditempatkan pusat tahanan khas dikenali sebagai Baitul Mahabbah di sini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia adalah sebahagian dari 80 kanak-kanak yang disasarkan pihaknya untuk ditempatkan di pusat tahanan lebih sesuai sementara dihantar pulang ke negara asal.
“Kita berjaya mengadakan satu premis untuk menempatkan sejumlah kanak-kanak yang sebelum ini ditempatkan di depoh tahanan sementara Imigresen, kita keluarkan sebahagian mereka untuk kita tempatkan di premis ini.
“Mereka ini sama ada kanak-kanak yang ada penjaga mahupun tidak, sebagai permulaan, sekarang kita ada 23 kanak-kanak dan 10 penjaga termasuk dari Syria dan Myanmar.
“Baitul Mahabbah ini kita sasarkan sehingga 80 kanak-kanak apabila ia beroperasi sepenuhnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Saifuddin merasmikan pusat tahanan kanak-kanak PATI di Baitul Mahabbah, Tadika Kemas, Kompleks Kediaman Kakitangan Awam di sini hari ini.
Pada 15 Februari lalu, Saifuddin mengumumkan Kementerian Dalam Negeri dalam usaha membawa keluar kanak-kanak PATI yang berada di depoh tahanan sementara Imigresen di seluruh negara.
Ketika di Dewan Rakyat pada 2 Mac lalu, Saifuddin memaklumkan seramai 1,179 anak PATI ditahan di depoh imigresen di seluruh negara sehingga 29 Januari lalu.
Saifuddin juga berkata, langkah itu bertepatan dengan undang-undang dan peraturan sama ada di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 ataupun Kanun Keseksaan serta Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak.
“Hari ini pun kita berjaya mempercepatkan pembukaan premis ini kerana sumbagan berupa barang-barang seperti alas tidur, bantal dan juga tilam.
“Itu proses biasa perolehan kerajaan ambil masa tapi oleh kerana NGO tampil yang memberikan sumbangan jadi kita dapat adakan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette