Khaled (tengah).

GEORGE TOWN – Program Serap Industri (IIP) akan menjadi platform kepada universiti-universiti di negara ini untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi dan menepati permintaan pihak industri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama dengan pihak industri terlibat ini akan memberi peluang kepada para graduan dan siswazah menerima gaji minimum RM4,000 selepas bergraduasi.

Jelasnya, program IIP yang dimulakan di Universiti Sains Malaysia (USM) akan diperluas ke universiti-universiti lain bagi meningkatkan kebolehpasaran para graduan.

“Kita mahu latihan industri dijalankan pada semester akhir pengajian sebelum pelatih diserap masuk ke mana-mana syarikat atau kilang yang bekerjasama dengan universiti terlibat.

“USM akan menjadi perintis kepada IIP pada ketika ini memberi penekanan bakat dalam bidang Elektrik dan Elektronik (E&E).

“Kalau tidak dulu keluar universiti masuk industri kata tak menepati kehendak dia maka gaji pun tak sepadan dan kita dapat lakukan pembelaam kepada graduan khususnya pertama dalam bidang E&E,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Oppstar Berhad di Bangunan I2U Sains@ USM, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pelaksanaan ini juga membantu bakal graduan kejuruteraan dalam meningkatkan kemahiran sharp-skill dan smart-skill mereka sebelum bergraduasi.

Oppstar Berhad merupakan salah satu dari syarikat inkubator di SAINS@USM. Ia menjadi syarikat perintis di Malaysia memulakan IC design incubation program di Universiti, dan USM melalui PPKEE adalah universiti pertama yang memulakan inisiatif ini.

Kerjasama USM-Oppstar Berhad ini dilihat sebagai salah satu inisiatif penting bagi mengekalkan dan meningkatkan daya saing Malaysia di dalam sektor E&E spesifiknya industri semikonduktor, serta menampung keperluan peningkatan bakat tenaga mahir yang terlatih di dalam bidang ini. – MalaysiaGazette