Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Nurulhidayah.-MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Anak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memohon kepada Allah untuk tidak menimpakan ujian kepada sesiapa seperti yang dihadapi oleh Timbalan Perdana Menteri itu,

Datuk Nurulhidayah berkata, ia adalah doa pertama selepas Ahmad Zahid dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) hari ini.

Katanya, pengalaman yang dilalui oleh ayah dan keluarganya sepanjang pendakwaan berlangsung sangat menyakit dan memedihkan.

“Benda pertama saya minta pada Allah selepas abah dibebaskan dari 47 pertuduhan, saya mohon Allah jangan uji sesiapa dengan ujian yang abah dan kami sekeluarga lalui.

“Semoga Allah mendengar dan memakbulkan doa saya,” katanya dalam satu perkongsian di Insta Story.

Dalam satu perkongsian lain, anak sulung Timbalan Perdana Menteri itu memanjatkan kesyukuran selepas bapanya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Nurulhidayah menerusi akaun media sosial berharap mereka yang mengikuti kes berkenaan tidak akan diuji dengan fitnah dan pertuduhan dunia yang penuh keji.

“Semoga kita semua diberikan pengampunan dan pengakhiran kehidupan yang terbaik dan apabila kita dihidupkan di alam kubur kelak, kita ditempatkan bersama para solihin di taman-taman syurga,” ujarnya.

Beliau turut menitipkan doa kepada semua agar dikurniakan perjalanan akhirat yang baik, lancar dan ke syurga tanpa hisab.

Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 47 tuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Ahmad Zahid sebelum ini telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari lepas, manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari.-MalaysiaGazette