KOTA BHARU – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 kes pertuduhan hari ini menginsafkan seluruh ahli UMNO Kelantan untuk terus istiqamah melawan fitnah.
Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, UMNO Kelantan terus meyakini kebenaran akan sentiasa mengatasi kebatilan.
“Badan Perhubungan UMNO Kelantan memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan kesemua 47 pertuduhan terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
“Sesungguhnya keputusan ini menginsafkan seluruh ahli UMNO Kelantan untuk terus istiqamah melawan fitnah musuh dan terus meyakini bahawasanya kebenaran akan sentiasa mengatasi kebathilan.
“Keputusan hari ini juga jelas membongkarkan agenda jahat daripada puak tertentu sebelum ini yang sengaja mengada-adakan pertuduhan politik ke atas pimpinan UMNO,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Collin berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa Jabatan Peguam Negara mahu memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.
Selaras dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, pihak pendakwaan ingin memberhentikan prosiding ke atas semua pertuduhan terhadap tertuduh (Ahmad Zahid) dengan mengemukakan 11 alasan,” kata Collin.
Menurut Ahmad Jazlan, UMNO Kelantan menaruh harapan agar institusi kehakiman menjadi benteng kepada sistem keadilan negara di bawah Kerajaan Perpaduan ini bebas daripada segala pendakwaan politik.
“Sebagai sebuah parti Melayu yang berpegang teguh kepada ajaran Islam, kami yakin kepada firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 54; Mereka merancang, Allah juga merancang, sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang,” katanya. – MalaysiaGazette