KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam akan menyemarakkan kembali perjuangan parti.
Hal itu dinyatakan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, yang mengajak seluruh pimpinan, ahli dan penyokong untuk sama-sama bersatu menguat serta memulihkan parti.
“Saya menyeru semua peringkat dalam UMNO, jadikan keputusan mahkamah semalam sebagai permulaan untuk kembali menyemarakkan perjuangan parti.
“Keputusan ini juga adalah iktibar kepada kita semua kerana apa sahaja kesulitan sama ada tuduhan dan pendakwaan bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan, sebaliknya permulaan ke arah memulihkan UMNO,” katanya dipetik UMNOOnline hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi telah memutuskan untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Putrajaya itu, tiada yang lebih bermakna bagi ahli parti termasuk dirinya sendiri dengan keputusan itu.
Katanya, berpeganglah kepada prinsip bahawa kebatilan akan terserlah dan kebenaran akan menang.
“Namun persoalannya berapa ramai pemimpin politik sanggup menghadapi onak dan duri sebegini. Malah saya sendiri pun telah melalui natijah enggan meninggalkan UMNO ketika itu hinggakan saya juga diheret ke mahkamah.
“Fahamilah bersama bahawa UMNO adalah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.
“Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadikan keputusan mahkamah semalam sebagai penguat sokongan bagi menyemarakkan kembali perjuangan untuk ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’,” katanya.
Tengku Adnan turut mengimbau keadaan politik apabila semuanya bermula selepas Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada 9 Mei 2018 yang menyaksikan pelbagai kecelaruan berlaku.
Ketika itu, ujarnya, bukan hanya ahli Parlimen yang ‘panas’, tetapi pemimpin dalam UMNO dan BN juga demikian.
“Saya melaluinya dan merasainya. Bukan kecil cabaran yang Ahmad Zahid hadapi untuk berhadapan pendakwaan di mahkamah.
“Beliau menghadapinya selaku Presiden UMNO yang mengemudi parti pada waktu kekalahan, dipelawa untuk menyertai kerajaan parti lawan malah ditawarkan jawatan asalkan UMNO terkubur.
“Sungguh, ketika itu memang ramai juga pemimpin UMNO yang terpedaya, ada ahli Parlimen BN, ada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, ada ketua bahagian malah mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO juga berpaling tadah meninggalkan parti untuk hilangkan namanya dari senarai pendakwaan,” katanya. – MalaysiaGazette