KUALA LUMPUR – Bermula bulan ini program townhall PLATFORM terbitan MalaysiaGazette akan bersiaran secara langsung dari pusat membeli-belah bangunan ikonik Datum Jelatek.
Ahli Lembaga Pengarah Datumcorp International Sdn. Bhd., Azilah Arasad dan Ketua Pengawai Eksekutif MalaysiaGazette, Noraini Abdul Razak menandatangi Perjanjian Kerjasama (MoC) hari ini.
Menerusi MoC tersebut, PLATFORM akan bersiaran secara langsung sebulan sekali dari pusat membeli-belah ikonik tersebut.
“Saya yakin dalam dunia yang saling memerlukan, pemeteraian kerjasama strategik ini sangat penting untuk MalaysiaGazette dan Datum International Corporation menggabungkan kekuatan serta kepakaran masing-masing dalam mencapai matlamat yang telah dirancang.
“Sebagai pemain dalam industri media, MalaysiaGazette menawarkan produk terbaharu kami iaitu program PLATFORM untuk bersiaran secara langsung dari Datum Jelatek yang pastinya membawa satu pengalaman berbeza dan mengujakan,” kata Noraini dalam ucapan.
Beliau yang juga Ketua Pengarang MalaysiaGazette berkata, PLATFORM yang dikendalikan oleh seorang pengacara akan membicarakan isu semasa, ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain.
Tetamu atau panelis yang dijemput terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk menteri Kabinet, penganalisis, pakar dan pelagai pihak.
Program berdurasi dua jam itu juga menyediakan ruang tempat duduk sehingga 150 penonton.
“Sebagai timbal balas dalam kerjasama strategik ini, MalaysiaGazette akan memainkan peranan sebagai medium untuk mempromosikan Datum Jelatek di setiap rangkaian aset kami baik di portal berita mahu pun di semua platform media sosial MalaysiaGazette.
“Selain itu menerusi kerjasama straegik yang bakal direalisasikan hari ini, MalaysiaGazette dan Datum akan turun padang bersama-sama menjayakan program CSR menyantuni golongan yang memerlukan bagi mendekatkan lagi kami dengan rakyat,” katanya.
Noraini berkata, Datum Jelatek dipilih kerana lokasinya yang strategik termasuk pengangkutan LRT selain kemudahan lain yang terdapat dalam pusat membeli-belah tersebut.
Sementara itu Azilah berkata, kerjasama dengan MalaysiaGazette yang berpengalaman dalam media selama 10 tahun dapat membantu Datum Jelatek sebagai hab pelancongan baharu.
Katanya, Datumcorp begitu teruja dengan kerjasama strategik tersebut yang membolehkan Datum Jelatek dikenali merentasi sempadan.
“MalaysiaGazette menjadi pilihan kami sebab kita tahu dari segi pengunjung laman sesawangnya dan respon daripada pelayar dalam talian untuk berita terkini yang setaraf dengan portal ternama.
“Bila kita sebuat MalaysiaGazette semua orang tahu sebab ia meliputi semua aspek dari politik, hiburan, berita tular dan sebagainya.
“Kerana track rekod itu kita yakin MalaysiaGazette dapat membantu Datum Jelatek dan pusat membeli-belah ini lebih dikenali ramai,” katanya.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Datumcorp, Ir. Md. Kamarzan Md. Rais; Pegawai Pemantau Operasi Datumcorp, Tengku Khairil Azwan Tengku Abd. Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia(MITDA), Kapten Mahadzir Mansor.
Pada majlis itu DatumCorp turut menandatangi Memorandum Persefahaman (moU) dengan MITDA bagi menjadikan Datum Jelatek sebagai destinasi baharu pelancongan di ibu negara. – MalaysiaGazette