Petugas SPR membawa kotak undi pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Markas Polis Marin, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 05 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai berjalan lancar pagi ini dengan 927 pemilih terdiri daripada pegawai polis dan anggota menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Terdapat tiga saluran di dua pusat pengundian awal iaitu di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dan Balai Polis Kempas.

Seramai 881 pemilih akan mengundi di markas Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua manakala  46 pemilih di Balai Polis Kempas.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai menyaksikan seramai 167,108 individu layak mengundi dengan pecahan seramai 74,814 pengundi Melayu iaitu 44.17 peratus, Cina seramai 67,635 pengundi (40.48 peratus) India seramai 20,555 pengundi (12.30 peratus) serta lain-lain kaum seramai 5,104 (3.05 peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal pada hari ini manakala hari pengundian pula pada Sabtu ini.

PRK Parlimen Pulai diadakan susulan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat; calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast