PUTRAJAYA – Ketiadaan perundangan khusus dalam Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) boleh merencatkan usaha kerajaan untuk melakukan pembaharuan semula bandar di negara ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ketika ini terdapat sembilan terlibat dalam proses pembangunan semula bandar.

“Ia menjadikan keadaan lebih rumit, lebih susah dan tidak ekonomikal. Oleh kerana itu, penggubalan satu akta baharu yang khusus adalah satu keperluan.

“Ia untuk menjana sekali lagi pembangunan ekonomi yang lebih mampan, berdaya maju serta progresif,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPKT di sini hari ini.

Antara sembilan perundangan itu ialah Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318), Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486), Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan & Pelesenan) 1966 (Akta 118), Akta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan 1957 (Akta 349), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Akta Kontrak 1950 (Akta 136).

Katanya, terdapat pelbagai dasar di peringkat Persekutuan yang menyentuh keperluan berkaitan pembaharuan semula bandar dalam menangani isu-isu perbandaran.

“Sehingga kini tiada dasar khusus dan atau panduan untuk menterjemahkan dasar-dasar peringkat nasional.

“Antara dasar yang menyentuh keperluan pembaharuan semula bandar termasuklah Agenda Malaysia Madani, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK 12), Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) dan Dasar Perbandaran Negara 2 (DPN 2),” katanya.

Tambah beliau, Malaysia perlu mengikut jejak negara-negara maju yang mempunyai undang-undang khusus berkaitan Pembaharuan Semula Bandar.

“Di Korea menggunakan Special Act on Promotion of Urban Renewal (2009). Sementara di UK pula adalah Housing &
Regeneration Act (2008) serta Housing Grant, Construction and Regenaraton Act (1996),” katanya lagi. – MalaysiaGazette