Muhammad Jailani Khamis

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis mahu UMNO memecatnya selepas menghadiri satu program Perikatan Nasional (PN) pada bulan lepas.

Permohonan itu dibuat Muhammad Jailani dalam surat tunjuk sebab kepada Lembaga Displin UMNO seperti yang tular  hari ini.

Dalam surat lima muka surat tersebut, Muhammad Jailani menegaskan, kehadirannya dalam program tersebut bukan bertujuan mahu sabotaj UMNO.

“Saya tidak menganggap perbuatan ini merupakan sabotaj bukan sahaja kepada UMNO tapi mana-mana parti sekali pun kerana saya hadir atas kapasiti pengerusi penaja NGO Muafakat Nasional Melaka.

“Saya tidak terlibat menjadi penceramah mahu pun memberikan kenyataan secara umum serta mengaibkan mana-mana individu, termasuk membuat kenyataan yang menjejaskan mana-mana parti politik sekalipun sewaktu kempen di dalam dua insiden (dihadirinya) ini.

“Dengan rasa rendah diri, saya meminta Lembaga Disiplin UMNO mengambil keputusan di bawah peruntukan 20.10 (D) iaitu dipecat daripada parti setelah disahkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan bukan mana-mana hukuman lain.

“Saya tidak mahu malukan UMNO, saya minta permohonan saya diterima,” katanya dalam surat itu.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Hafarizam Harun memanggil Muhammad Jailani bagi prosiding pendengaran berhubung tindakannya hadir ke program kempen PN di Johor baru-baru ini.

Bagaimanapun, Muhammad Jailani tidak hadir ke sesi prosiding itu.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin yang bertarikh 28 Ogos, Muhammad Jailani didakwa telah melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor pada 23 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tahniah buat ADUN Rembia.. inilah ADUN UMNO yang perlu menjadi contoh. Beliau “BERANI” berada dimana-mana venue demi tugas yang ikhlas. Jika amalan Puad Zarkasi diikut.. mahu melintas jalan dimenangi PN pun tidak dilakukan. Puad Zarkasi ni merugikan dan BODOH. YB UMNO yang lain contohilah ADUN Rembia ini… beliau terbuka dan ikhlas

Comments are closed.