Datuk Ruslin Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen  (JIM) hari ini menafikan pihaknya mengeluarkan kelulusan khas bagi pemohon Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0) yang menjadi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini selepas tarikh 31 Disember 2022.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menafikannya susulan rakaman suara yang tular melalui mesej di WhatsApp mengenainya kepada orang ramai.

“Rakaman suara yang tular ini mendakwa kononnya terdapat kelulusan khas akan diberikan oleh JIM hanya kepada 5,000 pemohon yang memasuki negara ini pada tahun 2023.

“Bagaimanapun, JIM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ruslin menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan taktik penipuan ejen atau orang tengah.

Tambah beliau, pihaknya tidak akan melaksanakan perkara itu kerana ia melanggar dasar yang ditetapkan oleh kerajaan semasa pelancaran program RTK 2.0 pada 27 Januari lalu.

“Dasar adalah jelas hanya warga asing yang menjadi PATI di negara ini sehingga 31 Disember 2022 sahaja yang layak dan akan dipertimbangkan kelulusan RTK 2.0.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh melayari portal rasmi dan akaun media sosial rasmi JIM untuk mendapatkan maklumat tepat serta terkini berkaitan Jabatan ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette