GEORGE TOWN – Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selaku pengendali operasi Feri Pulau Pinang hari ini mengumumkan tambang untuk penumpang feri berkuat kuasa esok pada harga serendah RM1 hingga RM2.50 sehala.

PPSB dalam satu kenyataan media memaklumkan tambang RM1 itu akan dikenakan kepada individu atau pejalan kaki yang berusia 12 tahun ke bawah manakala penumpang dewasa atau individu berusia 12 tahun ke atas pula, RM2.

Di samping itu, pengguna motosikal dikehendaki membayar RM2.50 manakala penunggang basikal RM2.

Jelas kenyataan itu, bayaran tambang tersebut dikenakan di kedua-dua terminal di Pangkalan Raja Tun Uda di bahagian pulau dan Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth.

“Tambang feri baharu itu mencerminkan komitmen dan usaha PPSB ke arah penambahbaikan berterusan untuk semua penumpang di samping menyokong peningkatan kemudahan perkhidmatan feri.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perjalanan yang selamat, mudah serta menyeronokkan untuk semua orang dan perubahan ini memainkan peranan penting dalam mencapai objektif tersebut,” katanya hari ini.

Dalam pada itu katanya, selain mengenakan tambang feri, PPSB juga akan memperkenalkan pas bulanan pada masa depan yang menawarkan diskaun kepada pengguna feri.

“Inisiatif ini secara tidak langsung bertujuan memberikan nilai tambah dan kemudahan kepada pengguna setia kami,” katanya.

Sebelum ini, orang ramai diberi peluang untuk merasai sendiri perkhidmatan feri baharu yang beroperasi di dua buah terminal secara ulang-alik iaitu di Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja Tun Uda  secara percuma selama sebulan sejak 7 Ogos lalu.

Empat feri berwajah baru yang dinamakan sebagai Teluk Bahang, Teluk Kampi, Teluk Duyung dan Teluk Kumbar telah memulakan operasi menggantikan feri ikonik yang sudah ditamatkan perkhidmatannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast