KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan, pengaruhnya dalam mana-mana bidang termasuk bola sepak dan politik merupakan sebahagian daripada ekosistem yang tidak akan pernah hilang, malah akan terus berkembang.
Menerusi kenyataan di Facebook, baginda menolak dakwaan serta spekulasi yang sering mengaitkan beliau dengan pelbagai isu semasa termasuk insiden konsert, perniagaan Bazar Ramadan dan kes melibatkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.
Tunku Mahkota Ismail turut menyentuh mengenai dakwaan bahawa gerai Bazar Ramadan di Johor dimiliki oleh baginda.
Menjawab secara sinis, baginda bertanya: “Adakah muka saya nampak seperti seseorang yang cari keuntungan daripada gerai Bazaar Ramadan?”
Baginda juga membidas cubaan mengaitkan dirinya dengan insiden pergaduhan di konsert punk tempatan dan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak masuk akal.
“Adakah muka saya kelihatan seperti orang yang habiskan masa dengan ‘headbanging’ di gig punk underground?” soalnya.
Sementara itu, mengulas isu melibatkan Faisal Halim, baginda menyifatkan tuduhan tidak berasas yang cuba mengaitkan baginda sebagai tindakan pengecut.
“Saya ini seorang askar, kalau saya ada sesuatu untuk disampaikan atau dilakukan, saya tidak akan bersembunyi disebalik tindakan pengecut seperti itu,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan isu sebenar bukanlah apa yang telah dilakukan, sebaliknya kemampuan baginda untuk melakukannya dan ini menjadikan sesetengah pihak tidak senang dengan kewujudan pengaruh baginda.
“Pengaruh, dalam kedudukan saya, bukan satu pilihan, ia satu ketetapan. Dan semakin masa berlalu, semakin ia bertambah kuat,” tegas baginda lagi.
Mengakhiri kenyataan tersebut, Tunku Mahkota Ismail memberi pesanan penuh: “Belajarlah untuk terima atau cubalah habiskan saya terus. Sebab saya tidak akan ke mana-mana. Saya di sini untuk berkhidmat kepada negeri saya dan memartabatkannya,” titah baginda. – MalaysiaGazette
















