SUNGAI PETANI – Sebuah premis perindustrian di Gurun, di sini, yang menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu.
Serbuan bermula semalam hingga pagi tadi yang diketuai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah dengan kerjasama Cawangan Khas Negeri Kedah itu membawa kepada penemuan lima metrik tan bateri terpakai yang mengandungi lithium dan 26 metrik tan buangan elektronik (e-waste) yang disimpan tanpa kelulusan.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, premis terbabit dikesan menjalankan aktiviti penempatan dan pemerolehan kembali buangan terjadual di luar tapak secara tidak sah tanpa kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta lesen sah daripada JAS.

“Premis tersebut telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) terhadap mesin-mesin pengeluaran yang digunakan tanpa alat kawalan pencemaran dan tanpa kebenaran jabatan itu.
“Premis ini bukan sahaja beroperasi secara haram, malah mempunyai rekod pelanggaran undang-undang yang berulang melibatkan pemprosesan buangan terjadual serta kegagalan mendapatkan kelulusan yang diwajibkan.
“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 18(1), Seksyen 34A(7) dan Seksyen 34B(1) di bawah AKAS 1974,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, beberapa kertas siasatan terdahulu juga sedang dalam proses tindakan mahkamah ke atas premis berkenaan.
“Walaupun pihak JAS telah beberapa kali memberi khidmat nasihat bagi membolehkan aktiviti dijalankan secara sah, premis terbabit tetap mengingkari arahan.
“JAS Kedah menegaskan bahawa pemantauan dan tindakan tegas akan terus dipergiat bagi membanteras sebarang aktiviti pemerolehan kembali buangan terjadual secara haram yang berpotensi mencemarkan alam sekitar dan mengancam kesihatan awam.
“Orang awam digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pencemaran melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau di laman sesawang http://eaduan.doe.gov.my,” katanya. – MalaysiaGazette
















