Nagendran didakwa membunuh seorang bayi lelaki di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki pada bulan lalu.

Tertuduh, S. Nagendran kelihatan tenang dan memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohd Farid.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki berstatus duda itu berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia 15 bulan di B-4-44 Pangsapuri Ampang Jajar di sini.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 6.25 petang pada 23 Ogos hingga 4.50 petang, 26 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 6 Mac depan untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN

Ibu, kekasih antara sembilan direman kes dera anak sampai mati

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan sembilan suspek termasuk ibu muda berusia 16 tahun bagi membantu siasatan kematian bayi lelaki yang dipercayai didera.

Mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya dekat sini pada 28 Ogos lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki dipercayai kekasih ibunya sebelum suspek menghilangkan diri. – MalaysiaGazette