KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengurus Besar Nahdatul Ulama (NU), Yahya Cholil Tsaquf dan barisan kepimpinannya di Jakarta, Indonesia semalam.
Menurut beliau, dalam pertemuan itu, mereka telah menyentuh kepentingan menguasai dan memelihara ilmu turath serta keupayaan membaca situasi semasa.
Anwar berkata, beliau turut menyentuh pengalaman panjangnya bersama bekas Presiden Indonesia yang juga bekas pemimpin NU, Almarhum Abdurrahman Wahid yang lebih dikenali sebagai Gus Dur.
Perdana Menteri juga menganggap Abdurrahman sebagai sahabat yang setia sewaktu beliau menghadapi kesukaran dalam perjuangan politiknya.
“Saya juga zahirkan penghargaan kepada kepimpinan NU yang sudi hadir untuk bertemu dan bertukar pandangan.
“Moga perbincangan seperti ini akan dapat dilakukan lagi demi manfaat umat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Anwar berada di Jakarta untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 mulai semalam hingga esok. – MalaysiaGazette