Hussein Omar Khan menggerudi mesin perlombongan bitcoin yang merupakan antara pelupusan barang kes di IPD Sepang hari ini.

SEPANG – Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil melibatkan kes salah laku anggotanya yang didakwa terbabit dalam perbuatan khalwat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketika ini pihaknya dalam proses untuk melengkapkan kertas siasatan itu dan anggota berkenaan tidak ditangkap sebaliknya dalam tindakan tatatertib serta disiplin.

Menurut beliau, mana-mana pegawai atau anggota yang didapati telah melakukan sesuatu perkara yang boleh mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil tindakan di bawah peraturan-peraturan perlakuan penjawat awam.

“Sebarang kelakuan yang mencemarkan imej PDRM akan diambil tindakan sama ada anggota itu diturunkan pangkat, dibuang kerja dan pada masa yang sama kita mempertimbangkan untuk dia ditukarkan ke bahagian ataupun ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) lain.

“Selain itu, polis juga membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam siasatan kes ini,” katanya dalam sidang media di IPD Sepang hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta perkembangan kes tersebut dalam Majlis Lawatan Kerja dan Pelupusan Barang Kes di IPD Sepang.

Dalam perkembangan kes sama, Hussein memberitahu, dua kertas siasatan itu dibuka berdasarkan laporan fitnah dan ugutan yang dibuat oleh anggota itu sendiri melibatkan satu individu lain dalam kes tersebut.

“Kita siasat dalam dua aspek iaitu pertama adakah dia (anggota) difitnah dan keduanya dia diugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan..maka dua laporan ini disiasat secara serentak.

“Sekiranya sebab keadilan perlu ditegakkan kepada kedua-dua pihak. kalau dua-dua didapati melakukan kesalahan maka mereka akan diambil tindakan.

“Satu melibatkan pegawai awam tindakan tatatertib akan berjalan manakala bagi kes ugutan dan fitnah itu kita akan lengkapkan siasatan dan sekiranya ada keterangan mencukupi untuk menuduh dalam kesalahan tersebut, maka tindakan akan diambil pada pihak berkaitan,” tegasnya.

Terdahulu, pada 25 Ogos lalu video berkenaan dikesan tular di media sosial yang mana penelitian mendapati seorang individu lelaki mendakwa tentang salah laku melibatkan seorang anggota polis berpangkat sarjan di sebuah IPD di negeri itu.

Individu itu juga mendakwa kononnya anggota berkenaan telah ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah kondominium.

Dalam pada itu, bercakap tentang barang kes yang dilupuskan pagi tadi, ia membabitkan masing-masing tiga kes rampasan minuman keras dan rokok dan dua kes rampasan mesin bitcoin bagi tempoh bermula 2019 hingga 2023 dianggarkan bernilai RM 216,318. – MalaysiaGazette