MELAKA – Persiapan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dilihat ‘cacat’ susulan kegagalan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini menerima pesawat komersial sejak bulan lalu.
Kekecewaan itu diluahkan pengguna ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini sambil berharap pihak berkuasa dapat kembali meneruskan operasi komersial seperti sebelum ini.
Pesara tentera, Ang Jee Win, 54, berkata, sebelum ini dia sering ke Pulau Pinang untuk menziarahi anaknya selain anaknya juga kerap ulang alik ke negeri ini kerana kos penerbangan yang lebih jimat dari segi masa dan tenaga.
“Sebelum ini, saya tempah tiket secara atas talian tapi sejak beberapa minggu lalu saya lihat laman sesawang tempahan ditutup sebab itu hari ini saya datang sendiri untuk beli tiket di kaunter.
“Tapi kecewanya rasa bila melihat semua kedai ditutup dan hanya terdapat seorang petugas di kaunter memaklumkan semua penerbangan komersial dihentikan tanpa diketahui sebabnya sejak bulan lalu,” katanya.
Menurutnya, dia dimaklumkan kali terakhir penerbangan ke Pulau Pinang adalah pada Jun lalu manakala dari Pekan Baru, Indonesia pada 16 Ogos lalu.
“Sebagai pelanggan, memang kecewa sebab sekurang-kurangnya janganlah dihentikan terus tapi kurangkan kekerapan penerbangan mungkin dua kali seminggu pun memadai.
“Tinggal empat bulan sahaja lagi Melaka akan menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan keadaan begini pastinya merugikan sektor pelancongan negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter, Khairulnizam Kasim pula hanya mengetahui perkara itu apabila menerima aduan daripada beberapa pelanggan hotelnya di Ayer Keroh.
“Saya pun terkejut apabila pelancong kesihatan dari Pekan Baru, Indonesia memaklumkan mereka terpaksa turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menaiki kereta sewa ke sebuah hospital swasta di sini.
“Sebelum ini, memang pesakit itu turun di LTAM tapi sekitar bulan lalu, dia gagal menempah tiket untuk turun di sana mungkin kerana operasinya terpaksa ditutup,” katanya.
Menurutnya, kegagalan LTAM meneruskan operasinya pastinya memberi kesan besar kepada sektor perhotelan di Melaka yang berkait rapat dengan industri pelancongan.
“Agak janggal apabila satu-satunya pintu masuk udara ke negeri ini tidak lagi beroperasi ketika kerajaan negeri melakukan pelbagai usaha untuk mempromosikan Melaka sempena TMM2024.
“Keadaan ini akan mencacatkan usaha dan berharap pihak berkuasa dapat lakukan sesuatu untuk memastikan semua pemain industri tidak terjejas menjelang tahun depan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di LTAM mendapati, suasana suram di dalam terminal itu apabila semua kedai jualan ditutup.
Malah, kereta kakitangan memenuhi ruangan parkir ketibaan yang sepatutnya dikhaskan untuk teksi atau kegunaan pelanggan mengambil dan menurunkan penumpang. – MalaysiaGazette