PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beriltizam untuk mencapai nisbah 1 penderma organ kepada 1 juta populasi rakyat negara secepat yang mungkin.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, sehingga kini dilihat jumlah penderma masih rendah iaitu 10,747 orang pesakit sehingga Julai tahun ini.

Statistik berkenaan direkodkan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Kuala Lumpur.

Menurut beliau, dalam masa yang sama hanya 845 orang penderma organ sebenar kadaverik (selepas kematian) semenjak 1976.

“Kita masih menjadi 10 negara terendah penderma organ.

“Walaupun telah lebih 45 tahun perkhidmatan NTRC ini dimulakan, pendermaan organ dan tisu serta transplantasi di Malaysia masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah pesakit end-organ failure (kegagalan organ terakhir) yang memerlukan pembedahan transplantasi,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2023.

Jelas beliau, proses penerangan mengenai pendermaan organ perlu diperluaskan kerana masih ramai yang tidak jelas dan yakin terhadapnya.

Sehubungan itu Zaliha berkata, minggu kesedaran ini dijadikan sebagai acara tahunan.

“Tiada agama yang menghalang penganutnya untuk melakukan kebaikan. Bagi penganut agama Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah meletakkan hukum harus pada urusan pendermaan dan pemindahan organ sejak Jun 1970.

 “Pendermaan dan pemindahan organ adalah diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit dan bukan untuk tujuan perniagaan (tiada unsur jual beli).

“Kaedah rawatan transplantasi juga diharuskan sekiranya ia tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup),” tambahnya.

Terdahulu, katanya seramai 370,130 orang yang telah berikrar untuk menjadi penderma organ sejak 1977.

Daripada jumlah berkenaan 22,268 orang berdaftar pada tahun ini.

Justeru beliau berharap, agar Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2023 yang bertemakan Derma Organ: Erti Sebuah Kehidupan akan dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan pendermaan organ dalam menyelamatkan nyawa.

Antara  aktiviti dilaksanakan oleh sepanjang Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2023 yang berlangsung dari 7 hingga 13 September ini adalah pertandingan melukis poster, Cabaran Aktif BookDoc, kuiz harian dan khutbah Jumaat.-MalaysiaGazette