Mohd Shuhaily Mohd Zain

SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan menghantar kertas siasatan mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa mengeluarkan fatwa haram mengundi calon Pakatan Harapan, Suhaizan Kayat kepada pejabat Peguam Negara, hari ini.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sudah disiapkan dan sedia dihantar kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Saya rasa semua kertas siasatan sekarang dalam proses. Kita akan hantar kertas siasatan itu hari ini (kepada Peguam Negara),” katanya pada sidang media di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program 26th Departmental Review of Joint Malaysia-Thailand Working Committee On Criminal Activities.

Isnin lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Muhyiddin sedang disiasat mengenai kenyataannya didakwa mengeluarkan fatwa haram mengundi calon PH dalam satu ceramah di Johor, minggu lalu.

Razarudin berkata, siasatan ke atas Presiden Bersatu itu dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman.

Siasatan itu dijalankan susulan laporan polis terhadap Muhyiddin diterima pihaknya, Ahad lalu.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad, Shuhaily berkata, kes bekas Perdana Menteri itu masih dalam proses disiapkan kerana melibatkan beberapa kes.

“Kes Tun M kita sedang siapkan kerana ia melibatkan beberapa kes dan IP. Bagaimanapun semua kertas siasatan itu di peringkat akhir sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette