Ahmad Zahid berucap pada sesi libat urus melibatkan 120 peserta dari wakil agensi kerajaan termasuk ketua jabatan dan agensi di bawah KKDW.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi tumpuan dalam mempertingkatkan prasarana luar bandar antaranya dengan menaiktaraf kehidupan penduduk Sabah, Sarawak dan masyarakat Orang Asli.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW itu menjelaskan, tumpuan diberikan menerusi pembinaan dan baik pulih ameniti sosial, menambah cakupan telekomunikasi dengan kerjasama Kementerian Komunikasi Digital serta pembinaan rumah rakyat termiskin.

Selain itu, katanya, KKDW juga memberi fokus memperkasa ekonomi luar bandar bagi menjana pendapatan penduduk luar bandar melalui pelancongan desa dan ‘mix farming’.

“Besar harapan saya untuk melihat KKDW berperanan secara efektif membimbing usahawan luar bandar supaya produk mereka dapat dinaiktaraf dan kemudiannya dipasarkan ke peringkat global.

“Tambahan pula, pasaran halal di peringkat global kini mencecah 3.3 trilion USD iaitu jumlah pasaran besar yang membuka ruang dan peluang kepada usahawan untuk menengahkan produk mereka setara dengan produk antarabangsa.

“Ini boleh dilakukan dengan syarat usahawan luar bandar mesti berani bersaing dan mempunyai semangat kompetitif dalam memasarkan produk mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2024 bersama Pemain Industri dan Pihak Berkepentingan KKDW.

Menurut Ahmad Zahid, bidang TVET juga penting dalam melahirkan pekerja berkemahiran tinggi sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

Jelas beliau, KKDW mengambil pendekatan “smart partnership” antara institusi TVET MARA dengan syarikat swasta agar mempermudahkan penempatan pekerjaan bidang kemahiran.

“Kita juga merancang untuk melahirkan Tekno Huffaz iaitu graduan TVET yang memiliki diploma dan ijazah, tetapi juga sebagai huffaz. MIAT merupakan salah satu contoh institusi tersebut.

“InsyaiAllah dengan pasukan yang saya ada ini, saya akan berusaha memastikan segala input dan cadangan ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan dijadikan input kepada Belanjawan 2024.

“Saya juga amat berterima kasih kepada mereka yang hadir berkongsi pandangan dalam sesi libat urus ini,” katanya.

Beliau memaklumkan, sesi libat urus itu melibatkan 120 peserta dari wakil agensi kerajaan termasuk ketua jabatan dan agensi di bawah KKDW.

Selain itu, kata Ahmad Zahid lagi, majlis itu juga dihadiri pemain industri termasuk persatuan perniagaan, Dewan Perniagaan Koperasi, usahawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik berkaitan untuk memberikan input terbaik bagi mencapai objektif membantu rakyat, khususnya masyarakat desa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast