Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Yb Nga Kor Ming melihat sendiri barangan yang di kitar semula pada sidang media penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 07 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,410 lokasi tapak pelupusan sampah haram berjaya dibersihkan dan ditutup sejak Disember tahun lepas hingga 31 Ogos lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, dalam tempoh 100 hari beliau menerajui kementerian berkenaan, pihaknya telah berjaya mencapai 470 peratus jumlah yang disasarkan dengan 300 tapak pelupsuan haram berjaya ditutup.

“KPI (petunjuk presatsi utama) diri saya 100 hari pertama kita selesai 100 tapak pelupusan sampah haram setakat Hari Kebangsaan lepas.

“Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya membersih 1,410 tapak pelupusan tapak haram setakat 31 Ogos lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sidang media Penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran (NCEC) di kementeriannya, di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, pihaknya mempunyai harapan dan hala tuju dalam melaksanakan jihad sampah haram serta usaha mewujudkan masyarakat yang prihatin terhadap kesedaran kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Beliau menjelaskan, antara punca kewujudan lokasi tapak sampah haram adalah kurangnya kesedaran dalam kalangan penghasil sisa bagi menguruskan sisa dengan baik dan sikap tamak penghasil sisa yang mahu meminimumkan kos operasi atau mahu keuntungan yang maksimum.

Ditanya bagaimana KPKT boleh mendidik rakyat supaya menjadikan sampah sebagai punca kewangan, Kor Ming berkata, pihaknya menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Trash to Cash dan Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS).

Katanya, inisiatif itu membuka mata masyarakat di mana mereka berpeluang melaksanakan pengumpulan dan penjualan barangan kitar semula bagi mendapatkan pulangan berbentuk wang tunai.

Selain itu beliau memberitahu, SWCorp turut melaksanakan aktiviti berbentuk pertandingan seperti Waste to Art dan Pertandingan Reka Bentuk From Waste to Wealth Innovation bagi memberi kesedaran dan membuka minda masyarakat bahawa barangan kitar semula boleh dijadikan sebagai barangan bernilai dan artistik serta mampu dikomersilkan.

Sementara itu Kor Ming berkata, pelbagai program dan inisiatif berorientasikan komuniti dijalankan oleh KPKT telah menarik minat masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti pembudayaan 3R (reduce, reuse dan recycle).

Jelasnya, antara program yang dilaksanakan adalah berbentuk pendidikan kesedaran awam seperti ceramah, pameran, seminar dan webinar bagi memberi pendedahan sisa pepejal atau sampah mempunyai nilai.

Selain itu katanya, KPKT melalui SWCorp juga membangunkan modul bagi pendidikan di peringkat sekolah iaitu Modul Pengajaran dan Pembelajaran Pengurusan Sisa Pepejal dan Amalan 3R iaitu Merentas Kurikulum Prasekolah dan Modul Latihan Kelab Kitar Semula Sekolah Rendah dan Menengah.

“Penglibatan aktif daripada masyarakat akan meningkatkan kadar kitar semula dan seterusnya menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

“KPKT akan sentiasa meneliti tren pencapaian Kadar Kitar Semula Kebangsaan setiap tahun dan terus merancang tindakan dan program yang efektif dalam meningkatkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh untuk terus membudayakan aktiviti 3R dalam kehidupan seharian,” ujarnya. – MalaysiaGazette