KLANG – Sembilan lelaki yang terlibat dalam pergaduhan di sebuah rumah di Jalan Tepi Sungai Klang di sini, Ahad lalu mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini.

Mereka, termasuk tiga beranak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid.

Semua tertuduh, T. Lohitvishnu, 23; P. Kumar, 34; M. Komadass, 43; R.M. Pandiyan, 52; M. Baskaran,37; M. Thiagu, 40, selain T.T Selvam, 52 dan dua anaknya iaitu Mohgan Raj,25 serta Ruban Raj, 28 didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu kerana bergaduh dan merusuh kira-kira jam 6 petang, Ahad lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 bersama seorang penjamin.

Namun, semua tertuduh yang diwakili Peguam A.Biranta, B.Yaashnipriya dan P. Aravind memohon jaminan rendah antara RM1,000 hingga RM2,000 kerana ada antara mereka mengidap penyakit strok dan diabetes.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,500 bersama seorang penjamin kepada semua mereka dan menetapkan 27 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semua mereka membayar jaminan tersebut.

Selasa lalu, media melaporkan, sekumpulan lelaki ditahan selepas bergaduh di hadapan sebuah rumah dekat Jalan Tepi Sungai, Klang pada jam 6 petang Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada pengadu seorang lelaki berusia 57 tahun pada pukul 9.33 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, pengadu yang sedang berjalan kaki ke rumah mendapati jirannya telah memanggilnya dengan cara kasar.

“Pengadu yang tidak berpuas hati telah menegur tindakan jirannya sehingga berlaku pertelingkahan mulut,” katanya. – MalaysiaGazette