UMNO medan politik kepartian Pas kalimah Allah calon BN Kuala Nerus pengusaha menu rahmah
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas sepatutnya menyesali tindakannya mengkhianati kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dahulu apabila secara diam-diam menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pengkhianatan Pas itu menyebabkan MN akhirnya disejukbekukan dan seterusnya mati tanpa batu nisan.

Menurut beliau, kerjasama dengan UMNO adalah sejarah manis bagi Pas yang telah membuahkan banyak manfaat kepada parti itu hasil keputusan Majlis Syura Ulamak Pas.

“Maka wajarkah ungkapan penyesalan diungkapkan setelah pelbagai manfaat diperolehi hasil kerjasama?

“Penyesalan ini seolah menafikan didikan Islam kepada suami isteri yang baru bercerai agar tidak melupakan kebaikan pasangan masing-masing sepanjang perkahwinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas kesal kerana membantu UMNO bangkit selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, Pas sepatutnya tidak berbuat demikian dan mengambil kesempatan untuk ‘nyak’ UMNO ketika itu.

Mohd Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkata, pemimpin-pemimpin Pas sepatutnya sedar bahawa mereka mengecapi nikmat menjadi kerajaan hasil kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 55 kerusi Parlimen.

Beliau memberitahu, selepas PRU14, Pas hanya mempunyai 18 kerusi Parlimen dan tidak mungkin dapat membentuk kerajaan Persekutuan jika bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja.

“Malah kemenangan besar pada PRU15 adalah kerana hasil berkerajaan dengan UMNO selama tiga tahun mulai 2020 hingga 2022.

“Ia memberi peluang Pas berkhidmat kepada rakyat dengan pelbagai peruntukan kerajaan dan melegakan pentadbiran Pas di Terengganu, Kelantan dan Kedah,” jelasnya.

Mohd Khairuddin menambah, adalah malang bagi UMNO yang kalah PRU15 setelah diserang dengan pelbagai persepsi negatif seperti ‘keruh’ dan ‘tidak bersih’ oleh Pas yang sebelum itu turut mempertahankan tuduhan terhadap UMNO.

“Begitu banyak manfaat yang diperoleh oleh Pas menerusi kerjasama dengan UMNO yang tidak wajar diingkari dan dinafikan oleh Pas,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. gasak kau la ULAMAK UMNO oi… MG ni seperti menunjukkan kebodohan melampau orang UMNO je.. cover-cover lah sikit…

Comments are closed.