Seramai 287 individu ditahan dalam Ops Hawk secara serentak membabitkan empat daerah dijalankan pada 5 hingga 7 September lalu di Pahang.

KUANTAN – Seramai 9,662 individu yang terlibat dengan pelbagai kesalahan narkotik diberkas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, JSJN Pahang turut berjaya merampas bahan terlarang yang bernilai lebih RM7.9 juta dan membuat sitaan bernilai RM2.2 juta.

”Manakala dalam Ops Hawk ke-2 di Pekan, Maran, Lipis dan Kuantan sejak Selasa lepas hingga semalam pula, polis Pahang menahan 287 individu merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM38,830.

”278 suspek merupakan lelaki dan sembilan individu adalah wanita termasuk remaja berusia 17 dan 60 tahun telah diperiksa.

“Antara kesalahan dilakukan ialah pengedaran, urin positif dan tangkapan melibatkan wanted person selain empat lelaki ditahan di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Ops Hawk yang dijalankan secara serentak membabitkan empat daerah dijalankan pada 5 hingga 7 September lalu menyasarkan kawasan Felda, pesisir sungai dan jeti nelayan.

Menurutnya operasi itu melibatkan 10 pegawai dan 89 anggota bersama enam anggota pasukan Polis Marin Wilayah tiga dilakukan bersepadu sebagai usaha mengawal masalah dadah di Pahang. – MalaysiaGazette