KPPA
Mesej palsu yang tular dalam media sosial. - Gambar: Facebook rasmi JPA

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan, mesej yang tular dalam media sosial yang mengaitkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed dan dua anaknya adalah palsu.

Menurut JPA, tindakan itu berniat jahat untuk mengelirukan orang ramai dan mencemarkan imej perkhidmatan awam.

“Hentikan sebar berita palsu! Tidak pasti jangan kongsi!” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Sebelum ini, tular mesej yang kononnya daripada salah seorang anak Zulkapli berhubung isu pelantikannya sebagai seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) serta tajaan JPA untuk adiknya melanjutkan pelajaran di luar negara.

Dalam hantaran yang sama, JPA turut memaparkan salinan laporan polis dipercayai dibuat oleh anak Zulkapli berhubung mesej tular tersebut.

Menurut pengadu, segala tohmahan dan fitnah dalam mesej WhatsApp tersebut telah mencemarkan imej KPPA, dirinya dan keluarga. – MalaysiaGazette