Wan Ahmad Fayhsal.-Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak akan berganjak berhubung keputusan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dibahaskan dalam Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau akan meminta jawapan notis usul tergempar yang dikemukakannya kepada Yang di-Pertua  Dewan Rakyat sebelum persidangan dimulakan esok.

“Esok sebelum 10 pagi saya boleh bangun untuk minta jawapan daripada Yang di-Pertua setakat ini saya belum dapat jawapan bertulis sebab bukan hari bekerja.

“Tapi kebiasaannya kami boleh bangun tanya keputusan usul itu walaupun saya dimaklumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat nak jumpa saya jam 9 pagi esok,” katanya ketika sidang media bersama dengan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Katanya, Dewan Rakyat merupakan medan terbaik untuk memberi peluang PN membahaskan isu yang penting dan mencetus tanda tanya dalam kalangan rakyat rakyat.

Sehubungan itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, tidak wajar untuk menidakkan hak untuk membahaskan isu tersebut.

“Dulu Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah pun bercakap di Dewan Rakyat nak bahas isu DOJ berkenaan Datuk Seri Najib Razak, kenapa kami tidak boleh? Kenapa ada berat sebelah,” ujar beliau.

Katanya lagi, sebagai pemimpin yang memperjuangkan reformasi, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul tidak patut menolak usul tersebut.

Terdahulu katanya, sehingga kini belum ada jawapan daripada Yang di-Pertua Dewan berhubung notis usul tergembar yang dikemukakannya pada Jumaat yang lalu.

“Selalunya prosedurnya kita kena hantar notis usul 24 jam hari bekerja sebelum usul dibangkitkan salam Dewan Rakyat, saya hantar sebelum jam 10 pagi pada Jumaat, jadi,” tambah beliau.

Dalam notis usul tergempar yang dikongsi di media sosial baru-baru ini, beliau meminta sidang Parlimen esok ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan menghentikan prosiding mahkamah membabitkan 47 pertuduhan Ahmad Zahid.

Jumaat yang lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata berkata keputusan DNNA terhadap Timbalan Perdana Menteri  tidak boleh dibahas dalam sidang khas Dewan Rakyat.

Jelasnya ini kerana kerana platform Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah untuk membincangkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini.- MalaysiaGazette