Sebuah kediaman rosak akibat gempa bumi kuat di Maghribi. Foto Vanguard News

RABAT – Angka kematian akibat gempa bumi kuat di Maghribi telah meningkat kepada lebih 2,000, dengan jumlah yang sama bagi mereka yang cedera.

Kementerian Dalam Negeri berkata, lebih 1,400 mengalami kecederaan serius, dan mangsa paling teruk adalah di wilayah di selatan Marrakesh.

Raja Mohammed VI mengisytiharkan tiga hari berkabung nasional dan mengarahkan perlindungan, makanan dan bantuan lain untuk mangsa yang terselamat.

Ramai orang menghabiskan malam kedua di tempat terbuka.

Gempa magnitud 6.8 melanda Marrakesh dan banyak bandar pada malam Jumaat.

Di kawasan pergunungan terpencil, seluruh kampung dilaporkan telah rata akibat kejadian tersebut.

Pusat gempa adalah di Pergunungan Atlas Tinggi, 71km (44 batu) barat daya Marrakesh – sebuah bandar berstatus warisan dunia yang popular dalam kalangan pelancong.

Tetapi gegaran turut dirasai di ibu negara Rabat, kira-kira 350km jauhnya, serta Casablanca, Agadir dan Essaouira.

Kementerian itu menambah, wilayah Al Haouz merekodkan angka kematian tertinggi, diikuti wilayah Taroudant.

Terdapat lebih sedikit kematian di Marrakesh, walaupun bandar lama yang dilindungi Unesco telah mengalami kerosakan besar.

Media melaporkan banyak rumah yang diperbuat daripada bata lumpur, batu dan kayu di perkampungan gunung akan runtuh, tetapi skala kemusnahan di kawasan terpencil akan mengambil sedikit masa untuk dinilai.

Ramai orang berkhemah untuk bermalam di sana, katanya, kerana mereka takut gempa susulan.

Malah, kawasan berkenaan dilaporkan mengalami kekurangan bekalan makanan dan air dan lokasi itu sukar menerima bantuan pantas kerana terpencil.

Apatah lagi dengan jalan-jalan gunung yang dipenuhi batu dan serpihan lain, menyukarkan akses kepada perkhidmatan kecemasan.

Raja Mohammed VI mempengerusikan mesyuarat tergempar dengan pegawai untuk menyelaraskan usaha menyelamat dan bantuan.

Dalam pada itu, bendera akan dipasang separuh tiang di semua bangunan awam di negara ini untuk tiga hari akan datang, kata istana diraja dalam satu kenyataan.

Raja mengarahkan angkatan bersenjata untuk membantu pasukan penyelamat, dan orang Maghribi menderma darah sebagai sebahagian daripada usaha nasional untuk membantu mangsa.

Ia adalah gempa bumi paling dahsyat di Maghribi sejak Agadir dimusnahkan oleh gempa 6.7 magnitud pada 1960, yang mengorbankan lebih 12,000.

Gempa pada hari Jumaat juga adalah yang paling kuat melanda Maghribi selama lebih daripada satu abad. – MalaysiaGazette