KUALA LUMPUR – Pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh dicadangkan sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Cadangan keahlian Michelle yang memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 menerusi filem Everything Everywhere All at Once itu akan dipertimbangkan pada mesyuarat bulan depan di Mumbai, India.
Untuk rekod, jawatankuasa tersebut akan mengesahkan tuan rumah bagi Sukan Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk.
Selain Michelle, tujuh lagi nama yang dicadangkan adalah pemenang pingat Olimpik pertama Israel, Yael Arad; ahli perniagaan dan Pentadbir Sukan Hungary, Balasz Furjes; pemenang pingat Olimpik dan ahli politik dari Peru, Cecilia Roxana Tait Villacorta dan usahawan sukan Jerman, Michael Mronz.
Turut dicadangkan Ketua Persekutuan Pingpong Antarabangsa dari Sweden, Petra Soerling; Presiden Kesatuan Meluncur Antarabangsa dari Korea Selatan, Kim Jae-youl termasuk Presiden Jawatankuasa Olimpik Tunisia, Mehrez Boussayene.-MalaysiaGazette