PELABUHAN KLANG – Penurunan peratusan keluar mengundi dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram semalam adalah perkara biasa, kata Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Faiz Fadzil.
Kata beliau, perkara itu disebabkan beberapa faktor seperti baharu selesai mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu, selain cuaca.
Malah, katanya, jika peratusan itu tinggi, kemungkinan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat dan Ir. Nazri Abdul Rahman mendapat majoriti lebih besar di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
“Namun, yang penting kemenangan ini menunjukkan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) kian utuh dan benar-benar menakutkan Perikatan Nasional (PN) sebab mereka berusaha untuk memastikan PH-BN tidak menang pada PRK ini.
“Jadi, kemenangan ini menunjukkan PH dan BN semakin utuh serta ahli di peringkat akar umbi telah memahami agenda perpaduan ini paling penting bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan baik.
“Kita semakin erat bukan saja di kalangan jentera, tapi di peringkat pengundian telah membuktikan dalam dua PRK semalam. Ini satu petanda baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra Madani dan penyampaian bantuan kepada nelayan Pelabuhan Klang dekat sini, hari ini.
Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar dari PN dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas pula meraih 528.
Suhaizan meraih kemenangan majoriti 18,641 dengan peratus keluar mengundi 47.37 peratus.
Di DUN Simpang Jeram, Ir. Nazri daripada PH mendapat 13,844 undi menewaskan pakar bedah, Dr. Mohd Mazri Yahya yang memproleh 10,330 undi, manakala S Jegananthan mewakili Bebas hanya meraih 311 undi.
Menurut Faiz, pengundi Melayu tidak mudah terpengaruh dengan dakyah politik perkauman dimainkan PN, sekali gus menunjukkan bangsa itu mula sedar bahawa isu berkenaan hanya omong kosong untuk menakutkan mereka.
Sedangkan, kata beliau, Kerajaan Perpaduan hari ini telah berusaha dengan pelbagai agenda untuk membantu rakyat dalam membangunkan ekonomi, termasuk golongan orang Melayu.
“Tidak ada apa-apa ancaman sebenarnya baik dari sudut politik, sosio ekonomi, pekerjaan mahupun perniagaan sebagaimana dicanang PN.
“Saya percaya orang Johor telah menunjukkan isyarat yang jelas bahawa keseluruhan orang Melayu sepakat memilih kerajaan perpaduan.
“Kepada PN, sudah-sudahlah memainkan dendangan perkauman kerana ia tidak memberi manfaat kepada orang Melayu, sebaliknya harus memikirkan ke hadapan bagaimana hendak membina bangsa yang lebih baik dan maju,” katanya. – MalaysiaGazette