Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO yang gembira dengan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan pada dua pilihan raya kecil (PRK) di Johor diibaratkan seperti ‘Pak Kaduk menang sorak kampung tergadai’.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, beliau pelik dengan pimpinan UMNO yang bersorak dengan kemenangan dua calon Amanah yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Faizal mendakwa, dengan meletakkan calon daripada Amanah bermakna UMNO sejak dari awal telah ‘dikuburkan di kawasan itu dan dua kerusi tersebut kekal milik PH.

“Sebenarnya PRK (Parlimen) Pulai dan (Dewan Undangan Negeri) Simpang Jeram bukan mengenai langkah untuk memperkukuhkan UMNO sebaliknya memperkasakan kedudukan Pan (Amanah) dan Pakatan Harapan di negeri Johor.

“Keduanya, kemenangan Pan dan PH juga tidak memberi nilai tambah kepada UMNO disebabkan perbezaan ideologi UMNO dan PH yang amat ketara.

“Malah boleh dikatakan perbezaan ideologi yang ketara ini, terutama selepas DAP menyatakan mereka tidak akan menggugurkan agenda sekularisme, Deklarasi Setapak dan Malaysian Malaysia mereka, ia juga, dari sudut jangka panjang, tidak memberi nilai tambah kepada perjuangan Islam dan ummah,” katanya.

Beliau yang dipecat daripada parti Januari lalu juga berkata, beliau pelik apabila pemimpin UMNO gembira sedangkan undi dan sokongan rakyat terhadap calon Kerajaan Perpaduan merosot.

Katanya, analisis menunjukkan PH dan BN kehilangan lebih 48,000 undi di Pulai dan peralihan undi BN kepada PN adalah sebanyak 74 peratus.

“Berdasarkan analisis peralihan sokongan ini, rasanya yang perlu menyedapkan hati adalah pemimpin PH-BN. Menang dengan undi yang semakin merosot, menunjukkan PH-BN sudah kehilangan sokongan.

“Menang dengan undi yang semakin bekurang sedangkan undi parti lawan meningkat lebih 20 peratus menunjukkan pengundi semakin ramai menolak PH-BN dan semakin ramai menyokong PN,” dakwanya.

Tambah Tun Faisal juga berkata, keputusan PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram berbeza dengan PRK Kuala Terengganu.

Katanya, di Kuala Terengganu calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional menang dengan undi yang lebih banyak sedangkan di Pulai dan Simpang Jeram jumlah undi yang diterima oleh PH adalah merosot.-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Hello bro! Amanah komponen dlm perpaduan. Tak dak apa yg pelik. Hang bukan ahli parti depa awat kalut. Hang fokus kat parti yg hang sokong udah le.. lantak la depa nk betsorak sbb itu hak depa.

  2. Pelik? Apa yang pelik? Yang peliknya kamu dsn BERSATU. Menjilat dana sini. Jilat PAS Jilat Tun M. Tak cukup tu jilat Presiden Gerakan. Tak bau hanyir ke? Wekkkk!!!!!. Nak muntah.

Comments are closed.