Muhammad Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Majlis Peguam dan Perikatan Nasional (PN) ditempelak kerana bersikap dwistandard dalam mengkritik keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penganalis politik, Lim Sian See hairan mengapa mereka tidak mempertikaikan perkembangan kes Faiz Fadzil yang menyaksikan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) itu juga diberi DNAA dalam kes tuduhan serangan seksual yang dihadapinya.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat mahkamah setelah pihak pendakwaan menerima surat representasi daripada peguam Faiz.

Sian See menambah, dalam kes Ahmad Zahid, tiada siapa yang rugi atau terkesan kerana Yayasan Akalbudi adalah milik Presiden UMNO itu sendiri.

“Tetapi dalam kes serangan seksual Faiz Fadzil pula, ada mangsanya.

“Mangsa yang meluahkan perasan kecewa sebab Faiz diberi DNAA,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Khamis lalu, Mahkamah Majistret Shah Alam memutuskan DNAA terhadap Faiz yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual wanita, dua tahun lalu.

Sebelum itu, pada 4 September lalu, Ahmad Zahid diberi DNAA oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan tersebut kepada mahkamah.

Sian See turut mempersoalkan tindakan pihak terbabit yang hanya menyerang kes Ahmad Zahid yang tiada mangsa namun mereka membisu dalam kes serangan seksual melibatkan seorang gadis muda.

“Nampak sangat korang hanya main politik sahaja dan bukan benar-benar mahu tegakkan keadilan terutamanya bagi kaum wanita.

“Tak ada pulak siapa yang tuduh kerajaan sudah menormalisasikan serangan seksual terhadap kaum wanita,” katanya. – MalaysiaGazette