Young Syefura Othman

 

KUANTAN – DAP bukanlah parti satu kaum sahaja tetapi untuk semua kaum, bangsa, ras dan keturunan dalam Malaysia, termasuk orang Melayu.

Malah, perjuangan DAP adalah demi Malaysia untuk rakyat Malaysia, kata kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.

Young Syefura Othman, Syahredzan Johan dan Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, perjuangan DAP adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan, dan mengikut lunas undang-undang.

“Buktinya, DAP secara konsisten melibatkan diri dalam proses demokrasi dan pilihan raya negara.

“Dengan ini, kami menyeru supaya jangan ada lagi pihak, sama ada kawan atau lawan, yang mempersoalkan asas perjuangan dan pendirian parti DAP selepas ini mengenai perkara-perkara asas dalam Perlembagaan,” kata mereka dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Saudara Anthony Loke Siew Fook pada Persidangan Parti DAP 2023 semalam bahawa DAP akan sentiasa berpandukan pada Perlembagaan Persekutuan.

Menurut mereka, kenyataan tersebut mengulangi sekali lagi pendirian DAP yang sentiasa menjunjung, menghormati dan mempertahankan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini ditekankan lagi melalui resolusi yang telah diluluskan oleh para pewakilan pada persidangan parti yang mengukukuhkan komitmen parti seperti yang dinyatakan di dalam Deklarasi Shah Alam lebih sedekad lalu.

“Komitmen itu untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan termasuk Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asal Sabah dan Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta hak dan kepentingan sah kaum dan masyarakat lain dalam Malaysia,” ujar mereka. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast