PU Syed

KUALA LUMPUR – Seorang penceramah yang juga bekas peserta realiti televisyen mencadangkan himpunan aman anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) pada 16 September ini diadakan di stadium, bukan di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

PU Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, himpunan itu juga boleh menggunakan kaedah lain seperti solat hajat atau pidato pimpinan dengan aman.

“Ambe cuma kabo tak perlu anjur perhimpunan di Sogo tu… buatlah kaedah lain.. di stadium ke.. dan sebagainya.

“Boleh buat solat hajat dan pidato pimpinan dengan aman..toksah tiru gaya bang non,” kata menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari yang akan menggerakkan himpunan aman pada 16 September ini di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Himpunan itu dikatakan bagi memulakan kempen Selamatkan Malaysia susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Ahmad Fadhli, perhimpunan tersebut adalah sebagai permulaan sebelum menggerakkan satu kempen jelajah Selamatkan Malaysia ke seluruh negara.

Semalam juga menerusi Facebooknya, Syed Mohd Bakri memuatnaik status memberi saranan kepada penganjur agar jangan mengajar rakyat seperti yang pernah dilalui dahulu.

Beliau berkata, himpunan yang akan diadakan nanti  membuat Malaysia bertambah huru-hara.

“Ambe tak menyokong himpunan di Sogo 16 September nanti. Cuba ikhtiar kaedah lain, yang boleh menyampaikan hasrat pembangkang dalam menegur kerajaan. Ini adalah pandangan ambe sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette