KUANTAN – Pencarian warga emas menaiki bot fiber yang dilaporkan hilang di laut ketika menangkap ikan pada Sabtu lalu diluaskan sehingga 272 batu nautika persegi di Timur Laut Kuala Pahang.
Ia juga melibatkan penambahan aset laut, udara serta pencarian di pesisir pantai.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) yang memasuki hari ketiga berikutan tiada sebarang penemuan berkaitan mangsa dilaporkan semalam.
”Setelah dua han Op Carilamat dijalankan, pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petanda mengenai kehilangan nelayan tersebut sebelum pencarian ditangguhkan pada pukul 7 malam semalam.
Op Carilamat dikoordinasikan oleh Maritim Malaysia pada hari ketiga diteruskan dengan melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Malaysia Resources Cooperation Berhad (MRCB) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Pahang.
”Ketika operasi dijalankan, keadaan cuaca di laut baik namun sedikit berangin dengan kelajuan 10 hingga 20 kilometer sejam dan laut berombak antara satu hingga 1.5 meter,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada Sabtu lalu, mangsa yang kenali sebagai Mohamed Romlan Abdul Rani, 66, dilaporkan keluar ke laut seorang diri menaiki bot fiber pada pukul 5 pagi dan sepatutnya pulang ke jeti sekitar pukul 11 pagi pada hari yang sama.
Beliau dikatakan keluar bagi menangkap ikan pada jarak lebih kurang 1.5 batu nautika Timur Laut Kuala Pahang.
Pihak Maritim Negen Pahang memohon kerjasama komuniti maritim di kawasan sekitar untuk melaporkan kepada pihak agensi sekiranya terdapat sebarang petunjuk berkaitan kehilangan mangsa di talian 09-571 7345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.- MalaysiaGazette