Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin sasaran membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mampu dicapai selepas sebanyak 108, 373 unit rumah tersebut sudah dibina pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, inisiatif penyediaan tempat tinggal secara sewaan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan bandar utama yang dilaksanakan di beberapa tempat seperti di Johor dan Selangor akan diperluaskan.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa cakna dalam soal perumahan dan menjadikannya sebagai agenda utama yang tidak boleh dikompromi.

“Kita sedar bahawa harga rumah dan kadar sewa yang semakin meningkat telah membebankan rakyat.

“Saya yakin dengan penglibatan semua sektor awam dan swasta, sasaran kita untuk membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik dalam RMK12 akan tercapai.

“Sehingga akhir tahun 2022, sebanyak 108,373 unit Rumah Mampu Milik telah dibina,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan RMK12 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menambah, projek rintis Perumahan Inklusif Madani juga akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang dengan melibatkan 800 unit rumah pelbagai saiz ruang lantai bagi menampung keperluan golongan sasar yang berbeza.