Setiausaha Agung MUDA, Amir Hadi bercakap pada sidang media setelah selesai penyerahan memorandum yang diberikan kepada pihak mahkamah bagi kes mahkmah melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. Foto QURRATU AINI, 11 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Tiada bukti kukuh yang boleh membuktikan sokongan pengundi dan penyokong Pakatan Harapan (PH) memenangkan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Abdul Rahman dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung MUDA, Amir Abdul Hadi berkata, sepatutnya isu itu tidak timbul dan ia cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat apabila MUDA mengancam keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

“Semua itu adalah perkara yang telah pun berlaku dan kita tidak ada data yang konkrit mengatakan bahawa kerana sokongan ini (PH).

“Sepatutnya yang perlu dijawab kenapa MUDA keluar daripada kerajaan, bukan isu MUDA menang disebabkan oleh PH, MUDA menang disebabkan itu dan ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ketua Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia, Arveent Kathirtchelvan menyerahkan memorandum kepada pegawai Peguam Negara bagi kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya. Foto QURRATU AINI, 11 SEPTEMBER 2023.

Terdahulu beliau bersama Timbalan Pengerusi PSM, Arutchelvan menghantar memorandum bantahan permohonan pelepasan tanpa pembebasan melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Peguam Negara.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengingatkan Syed Saddiq bahawa kemenangan beliau dalam PRU15 di kerusi Parlimen Muar bukan kerana keupayaan dan kekuatan dirinya serta Muda sendiri.

Sebaliknya Syed Saddiq menang di Parlimen Muar kerana persefahaman yang dicapai antara Muda dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak meletakkan calon dan sokongan parti kerajaan itu.

Terdahulu, Syed Saddiq mengumumkan MUDA bertindak keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Keputusan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengurniakan DNAA kepada Ahmad Zahid dan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi pada 4 September lalu.

Dalam pada itu, Amir melahirkan rasa kesal apabila kerajaan bukan sahaja gagal menjawab isu mahkamah itu, sebaliknya hanya menyerang MUDA dengan mengungkit kemenangan parti itu dalam PRU15 lalu.

“Apa pendirian kerajaan? Adakah mereka okay dengan DNAA ini atau tidak bersetuju? Itu sepatutnya dijawab, bukan tiba-tiba owh MUDA ini menang kerana PH, MUDA ini ABCD… PSM ABCD….Tak bolehlah macam itu,” katanya.

Katanya lagi, tindakan MUDA keluar daripada Kerajaan Perpaduan tidak bermakna parti kecil itu mahu menyertai blok parti pembangkang lain.

“Walaupun MUDA keluar daripada kerajaan, MUDA berada di blok ketiga, kita bukan parti yang bersama dengan Perikatan Nasional (PN)

“Kita nak memainkan semak dan imbang, kita tidak mahu ada penggunaan sentimen kaum dan agama melampau dan kita bawa lebih kepada isu rakyat, suara progresif dalam Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Syed Saddiq menang Muar sebab PH tak letak calon – Anthony Loke