Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke

PUTRAJAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diingatkan bahawa kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Muar bukan kerana keupayaan dan kekuatan dirinya serta Muda sendiri.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, sebaliknya Syed Saddiq menang di Parlimen Muar kerana persefahaman yang dicapai antara Muda dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak meletakkan calon.

“Dia tidak menang Muar dengan merit sendiri, dia menang sebab ada persefahaman antara PH, kita tak letak calon kita di sana.

“DAP sokong dia, kita kempen untuk dia, Muar bukan kemenangan semata-mata untuk Muda, bukan keupayaan mereka sendiri untuk memenangi Muar, bukan kemenangan peribadi Syed Saddiq di Muar.

“Jangan lupa beliau bertanding di Parlimen Muar di atas persefahaman politik dengan PH, kita memberikan enam kerusi kepada Muda untuk bertanding supaya tidak ada pertembungan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Persidangan Kebangsaan DAP 2023 di Hotel Marriot, di sini.

Selasa lalu, Syed Saddiq yang juga Presiden Muda mengancam untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya Jabatan Peguam Negara tidak menjelaskan secara terperinci berhubung keputusan mahkamah terhadap kes rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pendirian itu selaras dengan keputusan mesyuarat Muda pada Isnin selain keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid sebagai garis merah sudah dilanggar.

Syed Saddiq juga tidak menolak kemungkinan untuk menilai semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Loke juga menegaskan, Syed Saddiq memenangi kerusi Parlimen Muar kerana PH memberi laluan kepada beliau untuk menang menggunakan bendera Harapan.

“Walaupun beliau tidak bertanding bendera Harapan, beliau bertanding atas blok PH, kerana kita tidak meletakkan calon di sana Muar.

“Ketika itu dia melawan calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN)

“Dia ada tanggungjawab sebab dia menang atas pengundi dan penyokong PH,” katanya.

Loke berkata lagi, kemenangan Syed Saddiq di kerusi Parlimen Muar sudah diterjemahkan pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Sabtu lalu.

“Saya nak ingatkan mereka di mana pengundi di Pulai telah mengundi untuk memastikan kestabilan politik, dan mahu memastikan kerajaan kekal kuat, itu suara keyakinan pengundi di Pulai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette