Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 OGOS 2018
William Leong Jee Keen. foto IQBAL BASRI, 06 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan memanggil bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Negara yang baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Ia bagi memberi penjelasan mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, baru-baru ini.

Pengerusinya, William Leong Jee Keen berkata, jawatankuasa tersebut telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan mengadakan prosiding berhubung perkara tersebut.

“Kita akan panggil kedua-dua peguam negara untuk berikan penjelasan dan kenyataan media telah dikeluakran dan kita akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mempersoalkan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) untuk membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Shahidan ditempelak Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mendakwa Ahli parlimen Arau itu tahu kedua-dua Peguam Negara akan dipanggil oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi sudah bersetuju dan membuat keputusan untuk panggil Peguam Negara untuk berikan penerangan mengenai kes DNAA.

“Arau (Shahidan) sendiri adalah salah satu daripada ahli Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut, dia tahu kita akan panggil Peguam Negara untuk berikan penerangan dan prosiding akan dijalankan tetapi dia masih nak bangkit isu ini dalam Parlimen,” jelas Poay Tiong.

Shahidan bagaimapun menafikan beliau tahu perkara itu.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat kecoh sebelum laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) bagi Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berlaku apabila Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kalal (Machang-PN) menggesa usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara susulan keputusan DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri itu daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa tak panggil Tommy Thomas yg mulakan pendakwaan politik, Mahathir yg campurtangan dlm perlantikan Ketua Hakim Negara dan kenapa tak panggil Zeti yg rasuah? Kenapa double standard??

Comments are closed.