KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu jawatankuasa Kabinet akan ditubuh bagi menyelaraskan kementerian dan jabatan berkaitan dalam usaha memperkasakan aspek pensijilan dan melonjakkan lagi industri halal negara ke peringkat global.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar berkata, melalui penyelarasan tersebut, kedudukan negara yang agak ke hadapan dalam bidang pensijilan halal di peringkat antarabangsa akan dimanfaatkan sepenuhnya.
“Dipastikan bukan sahaja ia halalan thoyyiban dari segi yang memuaskan tetapi kelulusan yang lebih efisien dan cepat kerana isu ini kritikal,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahmad Zahid serta Menteri Perdagangan Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Anwar menambah, pensijilan halal Malaysia beroleh markah yang tinggi di peringkat global, namun ia harus dilonjakkan lagi supaya turut menjadi contoh dari segi kecekapan dan penyelidikan bermutu.
Selain itu, menurut beliau, daripada segi industri pula, sinergi antara pensijilan dan promosi perniagaan adalah penting.
“Program GHaS ini penting kerana ia bukan sahaja memberi peluang orang memperkenalkan industri tetapi memberi ruang kepada industri tempatan termasuk yang kecil.
“Ia bukan sahaja halal, tetapi kalau halal kita tidak memberikan peluang kepada peniaga-peniaga kecil dan menengah dari Tanjung Karang ke Manik Urai supaya dapat memperkenalkan industri mereka, kita belum dapat mengatakan bahawa kita ini memberikan upaya dan alternatif ekonomi Islam yang membanggakan,” jelasnya.
Anwar berkata, setiap langkah yang diambil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari segi pensijilan mesti selari dengan perkembangan industri terutamanya bila dikaitkan dengan luar negara.
“Baru-baru ini bila saya di luar negara, dalam pertemuan dua hala, presidennya atau perdana menteri minta terus supaya Jakim memilih petugas membantu dalam soal pensijilan.
“Satu perkembangan yang baik tetapi saya telah usulkan supaya dalam produk makanan, minuman, kosmetik, farmaseutikal, barang gunaan, perkhidmatan logistik, peranti perubatan, pengilangan kontrak, ini semua harus diselarikan dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan Matrade,” katanya.
Beliau memberitahu, sekiranya tiada sinergi dengan industri, Jakim hanya akan meluluskan pensijilan tetap tidak mengembangkan industri halal di negara ini. – MalaysiaGazette