Dr Muhamad Akmal Saleh

JASIN – Melaka akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu kekurangan beras tempatan di negeri ini termasuk melihat kemungkinan berlaku kegiatan sorok beras.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, satu mesyuarat akan diadakan esok untuk melihat perkara itu.

Ia membabitkan dua agensi utama negeri iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB).

“Mesyuarat itu akan merangkumi perbincangan untuk mewujudkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengatasi isu berkenaan dan memantau pergerakan keluar masuk bekalan beras tempatan.

“Saya tak nafikan (mungkin) ada aktiviti menyorok beras tempatan di negeri ini, namun tindakan tidak dapat dibuat kerana kita tiada bukti kukuh,” katanya.

Akmal (tengah) mengetuai pemeriksaan Ops Jamin di sebuah pasar raya di Jasin, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan Ops Jamin di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, pihaknya turut menerima aduan daripada sebuah pasar raya di Jasin hari ini bahawa kali terakhir mereka mendapat bekalan beras tempatan adalah pada 5 September lalu.

“Selepas itu, mereka tidak memperolehi lagi bekalan justeru, esok kita akan bermesyuarat dengan agensi terlibat bagi membincangkan data kemasukan beras tempatan ke Melaka.

“Bermula 15 September ini juga, tiga buah syarikat pengilang beras akan dilantik untuk pembungkusan semula beras tempatan sebagai antara usaha memastikan bekalan mencukupi. – MalaysiaGazette